Followers

OHBULAN!

OHBULAN!


(Hot Story) Liu Wei Pemain Piano Kudung, Pemenang China’s Got Talent 2010

Posted: 12 Oct 2010 08:47 PM PDT

Kehilangan kedua-dua tangan'nya dalam satu kemalangan ketika berumur 10 tahun, namun Liu Wei daripada kawasan Beijing tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Dengan menggunakan kaki, beliau mula belajar piano ketika berumur 19, disamping memasang cita-cita untuk menjadi seorang pemuzik. Hari ini, Liu Wei berumur 22 tahun dan baru sahaja menjuarai rancangan realiti China's Got Talent pada 10 Oktober yang lepas.

Memainkan lagu penuh emosi dimedleykan dengan lagu "You Are Beautiful", vokal'nya pada tahap yang biasa sahaja, namun secara keseluruhan persembahan'nya yang mantap berjaya meruntun emosi jutaan penonton Tanah Besar, dan akhir'nya beliau menang.

Kami melayan video ketika berlangsung'nya audition, tercengang sejenak apabila Liu Wei memainkan lagu Mariage D'amour. Sangat awesome!

Video selepas ini.

Final China Got Talent

Semi-Final China Got Talent

Audition

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

(Gossip) Maria Farida Peluk Erat Shahz Jaszle, Hangat Bercinta

Posted: 12 Oct 2010 11:30 AM PDT

Ya, Maria Farida bukan'nya muda lagi, sama seperti Rita Rudani. Mungkin ada aura tersendiri, mereka berdua mempunyai persamaan, iaitu meminati jejaka-jejaka yang 10 atau 20 tahun lebih muda daripada mereka.

Maria mempunyai hubungan intim dengan pelakon baru Shahz Jaszle (Tari Tirana, Asmara) yang baru berusia 24 tahun. Malah, Shahz juga tidak segan silu menayang foto mereka berdua bersama di dalam profile BlackBerry Messenger milik'nya. Fuh, anda lihat'lah sendiri, memang bergaya sakan habis Maria menayang jejaka idaman'nya itu.

Bukan itu sahaja, gerak-geri dan perlakuan mereka berdua memang seperti pasangan yang dibuai cinta. Kata orang, wanita yang lebih berumur selalu'nya lebih memahami kehendak seorang lelaki muda. Sama seperti wanita, lelaki juga suka dimanjakan dan diberi perhatian. Mungkin, skill tersebut ada pada Maria sehingga mampu membuat Shahz jatuh cinta kepada'nya.

Atau, Shahz Jaszle itu anak ikan Maria Farida? Amboi, melampau mulut!

UPDATE: Shahz Jaszle menafikan hubungan cinta antara mereka berdua, kata'nya sekadar suka-suka.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Zon Artis

Zon Artis


Koleksi Gambar Persandingan Datuk Dr Sheikh Muszaphar & Dr Halina

Posted: 11 Oct 2010 11:45 PM PDT

Jika anda baru pertama kali meninggalkan respon, ianya akan melalui proses moderation terlebih dahulu. Oleh itu, anda tidak perlu klik SUBMIT untuk kali ke-2. Apa-apa pun, responlah dengan akal yang waras yer :D

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Graduan Universiti Putra Malaysia digesa jayakan program transformasi negara

Posted: 12 Oct 2010 11:15 PM PDT


SULTAN Sharafuddin Idris Shah (tiga dari kiri) bertitah kepada Omar Abdul Rahman (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh bekas dekan-dekan veterinar pada majlis Konvokesyen UPM, Serdang, semalam.


SERDANG 10 Okt. - Para graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) digesa memberi komitmen tinggi dalam menjayakan program transformasi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi yang mantap serta menyeluruh.

Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, untuk tujuan itu, para graduan perlu terus berusaha membuka dan mempertajamkan minda untuk melihat sesuatu fenomena secara global.

Sehubungan itu titah baginda, graduan juga perlu merancang masa hadapan secara lebih cekap dan berkesan.

"Semangat keusahawanan yang dipupuk di UPM harus disemarakkan dengan jiwa kental dan keberanian merempuh risiko serta pandai menukar segala cabaran menjadi peluang untuk kejayaan," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-34 UPM, di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah setelah menyampaikan ijazah pertama dan ijazah sarjana dalam pelbagai disiplin kepada 764 graduan pagi ini.

Sebanyak 7,545 graduan UPM menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung lima hari bermula 9 hingga 13 Oktober ini.

Baginda bertitah, seramai 83 graduan sulung program Ijazah Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, Ijazah Pengurusan Alam Sekitar dan Ijazah Pertanian Sains Ternakan turut menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.

Sultan Selangor juga bertitah, difahamkan jumlah graduan doktor falsafah dari UPM adalah yang tertinggi berbanding semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Baginda bertitah, untuk berjaya sebagai pendukung Model Baharu Ekonomi, graduan juga dituntut supaya lebih kreatif dan inovatif bagi memenuhi kehendak pelanggan termasuk menghadapi saingan, mencapai matlamat dan untuk mengubah suai pentadbiran dan pengurusan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menyampaikan anugerah Profesor Emeritus kepada Tan Sri Omar Abdul Rahman iaitu dekan dan profesor pertama di UPM yang menerajui Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan sekitar 70-an.

Omar dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik, UPM pada 1982 dan pada 1984 pula Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu melantik beliau sebagai Penasihat Sains pertama kepada Perdana Menteri.

Sebagai Penasihat Sains, antara kejayaan yang dicapai termasuk memperkenal dan memajukan skim Pengurusan Sains dan Teknologi melalui penubuhan pelbagai dana khas untuk penyelidikan sains.

Sumbangan Omar kepada kemajuan sains pula diperakui dengan menerima lapan ijazah kehormat Doctor of Science dan Doctor of Law yang dianugerahkan oleh pelbagai universiti di dalam dan luar negara.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 78 tahun ini merupakan warga Malaysia pertama memperoleh PhD dari Universiti Cambridge, United Kingdom.

'Kami datang raikan kejayaan Allahyarham'

Posted: 12 Oct 2010 11:14 PM PDT


ZULKAFLI Yeop Hashim bersama keluarganya hanya mampu melihat skrol ijazah Allahyarham Muhd. Rushdee selepas majlis Konvokesyen UPM, Serdang, semalam.


SERDANG 10 Okt. - Walaupun anak lelaki kepada pasangan Zulkafli Yeop Hashim, 58, dan Zaleha Shafie, 55, meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 25 Ogos lalu, mereka tetap hadir pada majlis Konvokesyen Universiti Putra (UPM) ke-34 hari ini untuk meraikan kejayaannya.

Allahyarham Muhd. Rushdee, 25, yang juga pemenang Anugerah Dekan, sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) pada konvokesyen itu petang ini.

Zulkafli, pesara tentera dan isterinya, pesara jururawat yang ditemui selepas majlis itu berkata, mereka hadir pada konvokesyen itu untuk meraikan kejayaan cemerlang yang dicapai oleh anak kedua daripada lima beradik itu.

"Kami datang untuk meraikan kejayaan Allahyarham kerana perjuangannya untuk mendapat ijazah juga merupakan hasil perjuangan kami berdua," katanya dalam nada sedih.

Menurut Zulkafli, dia dan isteri berpindah ke Kuala Lumpur dari Teluk Intan baru-baru ini kerana ingin tinggal bersama kesemua anak mereka yang masih belajar dan bekerja di sini.

Zaleha pula berkata dia terkilan kerana Allahyarham bercita-cita tinggi dan belajar bersungguh-sungguh untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS) tetapi hajatnya tidak kesampaian.

Sementara itu, dua beradik kembar, Muhamad Azhar Abd. Rahim, 24, dan adiknya Muhamad Ariff yang perbezaan umurnya hanya 15 minit meraikan kejayaan mereka memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Pengajian Pengguna hari ini.

Kembar itu berkata, mereka mengambil jurusan Diploma Pembangunan Manusia di UPM pada tahun 2004 hingga 2007 dan sama-sama meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Pengguna selepas itu.

"Dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah, kami berdua tidak pernah berpisah sehinggalah ke peringkat diploma dan ijazah," kata mereka yang tinggal di Senawang, Negeri Sembilan.

Mereka juga memberitahu, perbezaan ketara di antara mereka ialah Azhar gemarkan warna hitam dan teman wanita yang bertudung litup sementara Ariff meminati warna merah dan sukakan teman wanita yang serba ringkas.

Menurut adik-beradik itu, mereka berkongsi nota sebelum menduduki peperiksaan dan markah yang diperoleh sering tidak jauh beza antara satu dengan lain.

"Kami juga tinggal sebilik dan hanya berpisah apabila menaiki motosikal masing-masing," ujar Azhar sambil ketawa.

Mengenai tarikh perkahwinan mereka pula, Ariff berkata, allahyarham ibu mereka, Sariah Abd. Ghani, berpesan supaya mereka tidak berkahwin pada hari yang sama kerana khuatir orang akan membandingkan kecantikan pasangan mereka.

Evco alternatif untuk rawat ternakan

Posted: 12 Oct 2010 11:12 PM PDT


Penyakit puru yang banyak menyerang ternakan kambing dan biri-biri.


Industri penternakan kambing dan biri-biri boleh terjejas jika ternakan terdedah kepada serangan penyakit. Di antara penyakit utama yang boleh menyebabkan kematian tinggi ternakan ruminan khususnya kambing dan biri-biri ialah penyakit pneumonia (radang paru-paru).

Penyakit tersebut disebabkan oleh serangan bakteria Pasturella haemolytica dan serangan cacing.

Jangkitan penyakit lain seperti penyakit seperti puru (Contagious ecthyma), jangkitan tali pusat (navel infection), busuk kaki (foot rot) serta luka misalnya selepas ekor dipotong (docking) dan penyakit kulit juga penting dan perlu dikawal.

Walaupun penyakit tersebut tidak boleh membawa kepada kematian tetapi ia memberi kesan rasa tidak selesa kepada haiwan serta menjejaskan kesihatan.

Jangkitan penyakit akan mempengaruhi pengambilan pemakanan dan seterusnya akan menjejaskan produktiviti.

Rawatan penyakit kulit tersebut selalunya menggunakan bahan kimia seperti larutan iodin, potassium permanganate, formalin dan sebagainya.

Walaupun rawatan dengan cara itu boleh menyembuhkan penyakit tetapi ia mengambil masa yang lama. Dalam banyak keadaan akan memberi kesan sampingan.

Kajian terbaru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati Enhanced Virgin Coconut Oil atau minyak kelapa dara ditambah nilai (Evco) berpotensi untuk digunakan bagi merawat serta mencegah penyakit kulit pada haiwan ternakan.

Evco adalah produk yang berpotensi untuk digunakan dalam industri penjagaan kesihatan dan bahan pengawet.

Produk itu mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai monolaurin, moncaprin dan monocaprilin dan telah mendapat hak cipta di Malaysia (MY 140578-A) pada Disember tahun lalu .

Terkini, Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI, Dr. Kamariah Long, yang juga pencipta Evco telah mempelbagaikan kegunaan produk berkenaan untuk diuji sebagai bahan alternatif untuk mencegah penyakit pada haiwan.

Evco telah diuji bersama pakar penyakit haiwan, Dr. Mohmad Mustafa, juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI dalam menangani masalah penyakit ternakan kambing dan biri-biri.

Penyakit-penyakit tersebut termasuk puru , jangkitan tali pusat , busuk kaki dan luka selepas prosedur pemotongan ekor.

Menurut Dr. Mohmad, dengan menggunakan Evco, penyakit tersebut cepat sembuh jika dibandingkan dengan menggunakan rawatan cara biasa seperti semburan iodin, crystal violet atau penggunaan bahan kimia lain.

Bahan sebatian bioaktif dalam Evco telah menyebabkan luka kering dengan lebih cepat serta saiz luka mengecut, tidak membengkak dan seterusnya menghalang jangkitan kuman.

"Biasanya semburan komersial mengambil masa lebih dari tiga hari untuk menyembuhkan luka, kesan docking dan puru manakala semburan Evco pula mengambil masa yang lebih singkat," katanya.

Pelopor kajian hidraulik air

Posted: 12 Oct 2010 11:11 PM PDT


Kemudahan untuk ujian hempasan ombak yang terdapat di makmal NAHRIM mampu memastikan setiap kajian yang dilakukan akan menghasilkan keputusan yang tepat serta mampu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan air di negara ini.


ika di sebut tentang air, sungai, laut mahu pun terusan sawah padi, rata-rata orang ramai pasti lebih mengenali Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jabatan tersebut yang sebelum ini banyak menjalankan kajian serta perlaksanaan projek berkenaan bekalan air kini tidak lagi sendirian dalam melaksanakan tugas tersebut.

Kini JPS 'ditemani' Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi menyempurnakan tugas dan tanggungjawab pelbagai jenis kajian berkaitan air.

Di tubuhkan sejak tahun 1995, fungsi NAHRIM telah diperluaskan kepada apa jua keadaan, kepenggunaan serta kajian berkenaan air.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Jamalluddin Shaaban berkata, hasil kajian Tetuan Deff Haydraulic pada tahun 1990 telah memperakukan keperluan penubuhan sebuah pusat penyelidikan air di negara ini.

"Pusat tersebut mesti memiliki keupayaan untuk menjalankan kajian, simulasi makmal dan analisis hidrodinamik secara numerik.

"Malah ia juga melibatkan proses marfologi, ekologi serta interaksi air terhadap aktiviti manusia," jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Memiliki makmal model yang terbesar di negara, NAHRIM lebih menumpukan perhatian terhadap penyelidikan asas dan gunaan dalam sektor air seperti sumber air, sungai, pantai, geohidrologi dan kualiti air.

Selain itu, pusat penyelidikan ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan kepada semua pihak khasnya sektor awam dan swasta.

Kerjasama yang diberikan adalah dalam menangani masalah berkaitan air dan persekitarannya.

Kini hampir 10 tahun penubuhannya, NAHRIM telah berjaya memainkan peranannya sebagai sebuah Pusat Fokal Kebangsaan dalam pelbagai penyelidikan terhadap air.

Sama ada di dalam negara mahu pun luar, institut ini sering berperanan sebagai penyelaras dalam semua penyelidikan berkaitan serta turut mengambil bahagian dalam penyelidikan antarabangsa.

Terbahagi kepada beberapa pusat dan bahagian, setiap satunya memainkan peranan masing-masing.

Antaranya Pusat Kajian Pantai, Pusat Kajian Sungai, Pusat Kajian Sumber Air, Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar dan Pusat Kajian Geohidrologi.

Seterusnya Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, bahagian Perancangan dan Penilaian, Bahagian Khidmat Pengurusan serta Makmal Hidraulik dan Instrumentasi.

Setiap satu bahagian mahu pun pusat memiliki kelebihan serta keupayaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah serta kajian berkenaan air.

Jelas Ahmad Jamalluddin, kajian-kajian yang dilakukan bagi menyelesaikan masalah seperti hakisan air yang banyak melanda kawasan pantai mahu pun tebing sungai.

"Seterusnya melalui data kajian yang diperoleh akan menentukan tindakan lanjut yang akan diambil oleh kerajaan dalam menangani setiap permasalahan membabitkan air," katanya.

Sebagai contoh, pihak NAHRIM telah berjaya membangunkan Model Tindak Balas Nutrien di kebanyakan tasik di negara ini melalui Indeks Keadaan Trofik Carlson (TSI).

Melalui kaedah tersebut, penyelidik dapat mengenal pasti keadaan yang dikenali sebagai eutrofik (keadaan yang menandakan berlakunya pencemaran air).

Menurut Ahmad Jamalluddin, keadaan eutrofik secara amnya boleh ditafsirkan sebagai kandungan nutrien yang berlebihan di dalam air tasik.

"Keadaan ini boleh menyebabkan penurunan kualiti air melalui pengurangan kandungan oksigen yang diperlukan oleh kehidupan akuatik sekali gus menjejaskan ekosistem sesebuah kawasan sumber air.

"Keadaan tersebut juga boleh mencetuskan fenomena algae bloom iaitu pertumbuhan alga yang berlebihan di dalam air," katanya.

Justeru, kajian demi kajian perlu dilakukan oleh NAHRIM bagi mengenal pasti jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Selain memiliki tenaga pakar yang terdiri daripada penyelidik yang berpengalaman, institusi itu turut dilengkapi dengan kemudahan makmal kajian air yang tercanggih.

Agensi tersebut juga memiliki fasiliti model pelabuhan dan pangkalan yang terbesar di negara ini terdiri daripada kolam takungan seluas 1080 meter padu (30 meter lebar, 30 meter panjang dan 1.2 meter tinggi ).

Kolam takungan tersebut merupakan sebuah makmal untuk mengkaji pergerakan serta kekuatan hempasan model pelabuhan yang akan direka.

Dilengkapi dengan sistem kekuatan penambat kapal dengan empat kekuatan penghadang pemindah arus (tranduser) serta sistem pergerakan kepada dengan enam pengesan laser.

Ia juga memiliki 32 pendayung dengan empat jenis modul bagi meniru atau sebagai simulasi kekuatan hempasan ombak, tepat bagi setiap kawasan pantai yang di kaji.

Penjanaan ombak adalah berdasarkan data yang diperolehi daripada sesebuah kawasan menggunakan HR DAQ dan dikawal oleh aplikasi HR Wave Maker.

Ia bertujuan untuk menjalankan kajian permodelan fizikal terhadap struktur samudera, seperti pemecah ombak, terumbu tiruan, benteng hakisan dan pelbagai lagi.

Makmal tersebut turut memiliki kemudahan model pasang surut, model sungai (untuk kajian hakisan tebing), kolam takungan pantai, FLUM 2D (kajian kesan ombak di pesisir pantai, FLUM Tilting yang boleh menjana pelbagai corak dan kekerapan gelombang ombak.

Namun, apa yang lebih menarik institut ini juga tidak hanya tertumpu kepada bidang kajian sahaja, malah ia turut menghasilkan beberapa jenis produk bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan air dan marin.

Antaranya penciptaan terumbu tiruan khas bagi memulihkan ekosistem kawasan pantai dan mewujudkan persekitaran kondusif kepada pertumbuhan hidupan marin.

Malah, antara produk terbaru NAHRIM seperti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) juga merupakan satu kajian penyelesaian terhadap permasalahan sumber air yang sering berlaku.

Pelbagai lagi produk sedang dibangunkan oleh NAHRIM dan semuanya berasaskan untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan air serta sumbernya.

Kini NAHRIM bukan sahaja menjalankan kajian semata-mata malah sering mengadakan kolaborasi serta bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam dan swasta dalam memperolehi maklumat serta data yang terkini.

NAHRIM juga merupakan hab pengetahuan air serantau bagi adaptasi perubahan iklim (WKHCCA) di peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 pastinya menjadi kenyataan dengan adanya institusi-institusi penyelidikan yang benar-benar komited untuk membangunkan negara seperti NAHRIM.

Pengupas nanas automatik

Posted: 12 Oct 2010 11:10 PM PDT


Ciptaan mesin mengupas nanas secara automatik dijangka memberi impak kepada industri tanaman nanas.


Hanya pengambil masa kurang daripada 10 saat anda sudah boleh menikmati keenakan isi nanas siap di potong kecil. Mudah bukan, malah anda tidak perlu lagi terkial-kial serta membuang masa untuk membuang kulit buah tersebut dengan menggunakan pisau.

Mesin pengupas nanas automatik dicipta khas oleh Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat adalah untuk kegunaan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Selain itu, ia juga sesuai untuk kegunaan syarikat yang mengusahakan makanan berasaskan nanas selain hotel serta pasar raya besar.

Menurut Penolong Pegawai Latihan Vokasional ADTEC, Asziman Sukran, mesin tersebut berfungsi menggunakan kuasa pneumatik yang direka khas menggunakan kaedah terbaru.

"Keberkesanan mesin tersebut telah terbukti berupaya untuk memperbaiki dan mempercepatkan proses mengupas nanas.

"Apabila proses tersebut boleh dipercepatkan maka kos buruh juga secara automatik turut berkurangan," ujarnya ketika ditemui pada pameran Pertandingan Inovasi sempenan Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010) bagi Zon Selatan di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Tambah beliau, sebanyak empat tan nanas dapat dikupas dengan mudah dalam masa sehari bagi setiap mesin yang dihasilkan.

Ini kerana mesin tersebut amat mudah untuk dikendalikan dan sesuai untuk semua jenis golongan serta peringkat usia.

Mesin tersebut mampu mengupas dan mengasingkan empulur nanas pada masa yang sama dan proses pengupasan tersebut hanya memerlukan seorang sahaja pengendali.

Ia juga mudah untuk dibersihkan, tidak memerlukan pengendali yang begitu mahir malah boleh melaksanakan proses pengupasan secara berterusan.

Kepantasan proses mengupas nanas menggunakan mesin tersebut adalah pada kadar 300 biji bagi sejam berbanding 60 biji sejam jika dikendalikan secara manual.

Jelas Asziman, sehingga kini terdapat tiga spesifikasi mesin pengupas nanas automatik telah dipasarkan dan harga bagi sebuah mesin bergantung kepada spesifikasi yang dikehendaki pengusaha.

Bagi pengusaha makanan berasaskan nanas yang berminat untuk mendapatkan mesin tersebut, tempahan boleh dibuat melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Khasiat ubi keledek

Posted: 12 Oct 2010 10:57 PM PDT


Daun ubi keledek yang telah diproses menjadi makanan ringan yang berkhasiat.


UBI keledek biasanya digunakan dalam masakan sebagai hidangan petang dalam bentuk gorengan atau kuih seperti lepat dan kuih talam. Bagaimanapun daun ubi keledek yang kaya dengan nutrisi biasanya dibuang begitu saja atau dijadikan makanan ternakan.

Kajian menunjukkan daun keledek kaya dengan polifenol, lutein, vitamin A dan B, kalsium serta zink.

Di negara ini, walaupun ubi keledek ditanam dengan meluas tetapi banyak yang tidak diketahui mengenai tanaman ini.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. K Jeevan berkata, kandungan nutrisi bagi daun keledek setara dengan sayuran yang dibeli di pasar.

"Tambahan pula kosnya murah memandangkan daun keledek merupakan bahan sampingan tanaman keledek.

"Ini membolehkan masyarakat mendapatkan nutrisi dengan kos yang lebih rendah," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Kajian ke atas kandungan polifenol dan ciri anti radikal dilakukan bagi mencari punca sumber antioksidan semulajadi, makanan berfungsi dan nutraseutikal.

Sayuran berdaun seperti daun keledek mempunyai kelebihan dituai beberapa kali setahun menjadikannya mudah dipasarkan.

Dr. Jeevan menambah, kandungan antioksidan dan polifenol yang tinggi berbanding sayuran lain dapat memberikan pilihan kepada pengguna mendapatkan sayuran berkhasiat pada harga yang murah.

Selain itu, daun ubi keledek yang mengandungi bahan semulajadi boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada bahan sintetik import yang digunakan dalam pembangunan produk makanan.

"Jika daun keledek digunakan sebagai sayuran bermakna daun yang biasanya dibuang boleh menjadi sumber ekonomi kepada pekebun kecil.

"Ini bakal memberikan kesan yang besar kepada sektor pertanian dan makanan selain pembukaan lebih banyak ladang keledek manakala pengeluar makanan akan dapat mengurangkan kos bahan mentah," katanya.

Bahan aktif dalam daun keledek sesuai digunakan sebagai bahan untuk snek berkhasiat dan tepung dalam pembuatan roti dan mi.

Sambutan luar biasa lelong Dorper

Posted: 12 Oct 2010 10:56 PM PDT


celoteh juru lelong Khairuddin Ismail menarik minat pembida yang mencari ternakan terbaik bagi ladang mereka.


"Kita akan mulakan dengan plot satu, 10 ekor biri-biri Dorper betina baka dengan harga RM4,500," kata juru bida, Khairuddin Ismail sambil menunjukkan kepada plot yang akan dilelong.

Sepuluh ekor biri-biri Dorper betina mengembek dalam plot 1 mencari makanan.

Mentol di plot yang akan dibida dinyalakan bagi membolehkan pembida menentukan plot pilihan mereka.

Episod membida bermula, pembida mengangkat nombor masing-masing sebagai tanda menambahkan pembidaan dengan nilai RM50 sekali.

Khairuddin yang berpengalaman sebagai juru bida di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selama 15 tahun, berdiri menghadap plot yang diisi dengan 10 ekor biri-biri Dorper. Setiap satu mempunyai harga, jantina dan kegunaan sama ada untuk baka atau sembelihan.

Seramai 50 orang pembida yang datang dari seluruh negara telah meninjau plot diberikan nombor, duduk di tempat yang dikhaskan.

"RM4,500 satu...!"Jerit Khairuddin dengan matanya meliar memandang pembida.

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya pembida dengan nombor 015 mengangkat kadnya.

"Sekarang siapa berani dengan RM4,550...!" Katanya menarik minat bukan saja pembida tetapi juga mereka yang datang untuk meninjau lelongan biri-biri Dorper yang pertama kali dijalankan di Projek Agropolitan Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Pembidaan semakin rancak apabila nama pembeli pertama akan diabadikan di ladang berkenaan.

Setengah jam berlalu, harga yang ditawarkan telah meningkat lebih dua kali ganda, masing-masing berebut mengabadikan nama di ladang berkenaan.

"RM13,950... dua kali...!" Belum sempat juru lelong menghabiskan kata-katanya, pembida dengan nombor 011 mengangkat kadnya.

Akhirnya tinggal hanya tiga pembida yang benar-benar berminat mendapatkan Dorper dalam plot 1.

"Sapa berani lawan untuk harga RM14,900... satu, RM14,900 .... dua, RM4,900 tiga.. ! Kalau macam tu, plot 1 kepunyaan 015!" Katanya.

Pembantu juru bida Azhar Ibrahim, memalu gong tiga kali sebagai menandakan plot 1 telah menjadi milik pembida dengan nombor 015.

Aktiviti bidaan berjalan rancak dan mengambil masa lebih empat jam dengan 435 ekor biri-biri Dorper bernilai RM265,550.

Aktiviti bidaan biri-biri Dorper diadakan buat kali pertama selepas genap setahun Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jualan biri-biri Pekan Dorper Auction dianjurkan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melebihi jangkaan

Bidaan kali pertama itu melibatkan biri-biri Dorper dengan jenama Pekan Dorper yang diternak di bawah Projek Agropolitan Pekan bagi golongan miskin tegar.

Kini biri-biri Dorper merupakan salah satu aktiviti utama di Agropolitan Pekan selepas ladang kelapa sawit.

Dalam tempoh setahun, Projek Agropolitan Pekan telah berjaya menggandakan populasi biri-biri baka Dorper kepada hampir 2,000 ekor daripada 1,000 ekor pada peringkat permulaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John gembira dengan kejayaan yang dicapai.

"Kami tidak menyangka mendapat sambutan yang melebihi jangkaan dengan lebih 50 pembida mengambil bahagian memandangkan ini adalah aktiviti pertama di Agropolitan Pekan" katanya.

Beliau menambah aktiviti bidaan akan diadakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan bilangan biri-biri.

Dalam tempoh setahun Projek Agropolitan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan taraf hidup para peserta projek.

Malah, kejayaan projek perintis penternakan biri-biri akan menjadi pelopor pembangunan 250 unit kandang ternakan (APU) di Agropolitan Pekan yang melibatkan sejumlah 25,000 biri-biri baka Dorper.

Apabila jumlah berkenaan dicapai, Agropolitan Pekan bakal mempunyai populasi biri-biri terbesar di satu lokasi tunggal di Asia dan dalam tempoh lima tahun tempat ini akan menjadi pusat pembidaan Dorper.

Projek Agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat miskin tegar.

Melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan peserta projek mampu menjana pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Felda dilantik bagi menyelaras dan mengurus projek berkenaan dan pada permulaan 30 peserta Orang Asli telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ternakan Dorper sejak Julai tahun lalu.

Selain 11 buah APU sedia ada untuk menempatkan biri-biri, 60 buah APU sedang dibina, 30 dijangka siap November 2010 manakala bakinya pada 2011.

Bekas exco usahawan nanas

Posted: 12 Oct 2010 10:55 PM PDT


ABDUL Fatah menunjukkan buah nanas yang baru dipetik sedia dijual kepada peraih.


SAYA pernah gagal dan ditipu ketika mula-mula menceburi bidang pertanian. "Namun, semua itu saya jadikan sebagai pengajaran serta pengalaman berguna untuk terus berjaya didalam bidang ini," ujar Datuk Abdul Fatah Iskandar ketika ditemui di ladang nanasnya di Kuala Selangor.

Bagi yang mengenalinya, Abdul Fatah bukanlah orang asing di kalangan masyarakat kerana beliau merupakan bekas ahli politik suatu ketika dahulu.

Abdul Fatah merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dari 1998-2008 beliau menjadi Ketua Bahagian UMNO Kuala Langat dan kini tidak lagi bertanding dalam pemilihan UMNO Kuala Langat mulai Oktober 2008.

Bagaimanapun, populariti beliau dahulu tidak pernah dijadikan 'modal' untuk berjaya dalam sektor baru yang diceburinya kini.

Berdasarkan kecenderungan serta minat yang mendalam terhadap sektor pertanian, beliau nekad untuk bertani seterusnya kini beliau mampu bergelar usahawan tani.

Keputusan meninggalkan keselesaan kerusi empuk serta sejuknya udara yang dihembus alat penghawa dingin tidak sedikit pun dikesali beliau.

Malah beliau merasakan tindakan tersebut telah terlambat kerana baru menyedari potensi bidang pertanian yang amat menguntungkan.

Menceritakan semula detik permulaan di dalam sektor pertanian, Abdul Fatah bermula secara kecil-kecilan dengan mengusahakan tanaman serai.

"Pada mulanya saya sendiri tidak yakin bahawa serai boleh ditanam di kawasan paya gambut.

"Tetapi ada seorang hamba Allah ini bersungguh-sungguh menyakinkan saya bahawa serai boleh ditanam di kawasan tersebut akhirnya saya bersetuju mengusahakannya," jelas beliau.

Namun, percaturan mempertaruhkan tanaman serai nyata terpesong jauh kerana tanaman tersebut tidak mampu hidup dengan baik.

Justeru beliau mengalami kerugian, namun nasib beliau amat baik kerana beberapa orang tempatan telah mencadangkan kepadanya untuk menanam nanas pula.

"Pada peringkat awal saya juga agak risau, takut-takut jika pekara yang sama berulang semula.

"Lalu saya dapatkan nasihat dari mereka yang berpengalaman serta mengkaji sendiri cara terbaik untuk mengusahakan tanaman nanas tersebut," katanya.

Berbekalkan sebidang tanah seluas tiga ekar, Abdul Fatah memulakan tanaman nanas secara kecil-kecilan sebagai percubaan.

Setelah melihat tanaman tersebut subur serta menyakinkan untuk ditanam secara besar-besaran, beliau beralih kepada ladang kelapa sawitnya seluas sembilan ekar.

Pokok kelapa sawit milik beliau pada waktu itu adalah pada peringkat awal penanaman, justeru bagi mendapatkan hasil memerlukan masa yang panjang.

Justeru beliau mengambil keputusan untuk melakukan tanaman secara integrasi iaitu dengan tanaman nanas.

" Pada peringkat awal saya hanya ingin menanam kelapa sawit sahaja, tetapi memandangkan masih terdapat ruang kosong saya mula memikirkan untuk menanam tanaman kontan yang lain," ujarnya.

Bermula setahun yang lalu, kini tanaman nenas beliau telah membuahkan hasil dan kini ladangnya sedang dalam proses penuaian.

Terdapat tiga jenis baka nanas yang ditanam oleh beliau iaitu Yanke (Selangor Sweet), Josaphine serta Morris.

Bagi setiap seekar tanah, beliau mampu memuatkan tujuh hingga lapan ribu pokok nanas dalam satu-satu masa.

Malah jika tanpa diintegrasikan ia boleh memuatkan 12 hingga 14 ribu pokok di dalam satu-satu masa.

Menurutnya, bagi pasaran sekitar Kuala Selangor, nanas jenis Yanke mendapat permintaan utama malah harganya juga agak mahal, sekitar empat hingga lima ringgit.

Manakala bagi nanas baka Morris atau Josaphine boleh dijual dengan harga serendah seringgit sebiji.

Jelas Abdul Fatah, nanasnya akan diambil peraih justeru beliau tidak perlu memikirkan jalan untuk memasarkannya.

Malah stok nanas yang sedia ada miliknya tidak pernah mencukupi untuk menampung permintaan walau hanya di sekitar Kuala Selangor.

"Nanas dari jenis Yanke amat diminati, yang sedia ada sekarang pun telah ditempah oleh peraih walaupun masih belum memasuki musim menuai," katanya.

Beliau juga banyak mendapat bantuan dari segi khidmat nasihat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dari segi penyediaan tanaman, penggunaan hormon pembuahan, serta penjagaan tanaman nanas sehingga ia mengeluarkan hasil.

Artritis jejas kualiti hidup

Posted: 12 Oct 2010 10:55 PM PDT

RAMAI daripada kita mungkin pernah berdepan dengan masalah sakit-sakit sendi di sekitar tangan, kaki dan pergelangan kaki terutama ketika bangun dari tidur.

Sesetengah daripada kita mungkin mengambil sikap endah tak endah kerana merasakan ia tidak berbahaya dan akan hilang dengan sendiri.

Namun jika rasa sakit itu berlarutan, sesuatu perlu dilakukan termasuk berjumpa doktor kerana ia mungkin simptom Reumatoid Artritis (RA).

Secara umumnya RA ialah penyakit autoimun kronik yang dialami apabila sistem imun dalam badan menjadi tidak normal dan secara tidak sengaja menyerang sel atau tisu sihat dalam badan.

Penyakit progresif ini lazimnya menyerang sendi lebih kecil. Khususnya jari, kaki dan pergelangan tangan yang boleh menyebabkan keradangan pada sendi dan tulang sekeliling.

Keadaan tersebut jika dibiarkan boleh menyebabkan pesakit kehilangan upaya sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka seharian.

Berdasarkan perangkaan, terdapat kira-kira 23.7 juta orang menghidap RA di seluruh dunia. Manakala di Malaysia pula kira-kira 0.5 peratus daripada penduduknya iaitu sebanyak 135,000 orang dikesan menghidap penyakit tersebut.

Pakar perunding Physician & Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Amir Azlan Zain menjelaskan, RA adalah penyakit yang dikaitkan dengan radang sendi dan kerap menyerang wanita berbanding golongan lelaki.

Pembengkakkan sendi menyebabkan penghidapnya mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan harian dengan lancar kerana tidak dapat melakukan aktiviti harian sebaik mungkin.

"RA atau radang sendi merupakan satu kumpulan penyakit sendi yang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu osteoartritis, reumatoid artritis, gout artritis, psoriatik artritis, spondilitis artritis dan artritis yang disebabkan oleh virus atau bakteria," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr. Amir menjelaskan, kebiasaannya kesakitan dan bengkak akan dialami pada sendi yang kecil terutamanya pada bahagian tangan dan kaki.

Sakit sendi mungkin kekal atau berulang dengan terjadinya kelembutan pada sendi.

"Sebagai contoh artritis pada lutut, kesakitan yang dialami pesakit seolah-olah tiada rasa sokongan dalam kaki.

''Sesetengah orang pula mungkin mempunyai jangkauan pergerakan yang terhad terutamanya pada bahu dan lengan.

''Keadaan ini menyebabkan pesakit sukar untuk menggerakkan sendi dan mengalami kehilangan kekuatan atau tenaga pada otot yang dijangkiti,'' ujarnya lagi.

3C perangi kanser

Posted: 12 Oct 2010 10:53 PM PDT

HINGGA ke hari ini, barah payu dara masih menjadi pembunuh utama wanita di dunia. Pun begitu, dengan kemajuan teknologi, penyakit itu boleh dirawat sekiranya pesakit datang mendapatkan rawatan di peringkat awal.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran wanita mengenai penyakit itu, bulan Oktober setiap tahun dipilih sebagai sambutan kesedaran barah payu dara.

Tidak hairanlah sepanjang bulan itu banyak kempen kesedaran barah payu dara dianjurkan sama ada kelolaan kerajaan mahupun swasta.

Hakikatnya, barah payu dara tidak memilih mangsanya dan menyerang semua wanita berisiko termasuk di luar bandar yang rata-rata tidak begitu terdedah kepada maklumat mengenai penyakit berkenaan.

Menyedari tanggungjawab sosial, syarikat kosmetik tersohor, Estee Lauder mengambil inisiatif menjadikan Kempen Kesedaran Barah Payudara Estee Lauder Malaysia 2010 untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya kesedaran awal dalam menangani penyakit tersebut.

Acara tahunan syarikat kosmetik tersohor itu mampu menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan barah payu dara kepada wanita dan juga masyarakat sekeliling.

Pengarah Urusan Estee Lauder, Loo Kai Nan memberitahu, cogan kata Berhubung, Komunikasi dan Menguasai merupakan ayat paling sesuai yang boleh memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kesengsaraan wanita yang menghidap barah payu dara.

''Memandangkan ia adalah sesuatu yang serius seharusnya ia dicegah habis-habisan melalui kesedaran awal oleh setiap wanita .

''Melalui komunikasi, perkongsian maklumat dan menguasai keadaan merupakan tindakan yang tepat dalam menyebarkan maklumat tersebut serta kaedah terbaik dalam menangani permasalahan itu,'' ujarnya pada pelancaran kempen itu yang diadakan di hadapan Bangunan Sulan Abdul Samad, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, bangunan yang bersejarah itu bertukar warna apabila disimbahi cahaya merah jambu sejurus selepas pelancaran kempen tersebut.

Selain bangunan tersebut, Menara Kuala Lumpur juga turut disimbahi warna sama sebagai menguatkan sokongan terhadap kempen itu.

Kai Nan menjelaskan, melalui tema warna merah jambu itu ia juga melambangkan kelembutan yang ada pada wanita.

Jelasnya lagi, biarpun barah ini menyerang kaum wanita sahaja, namun golongan lelaki juga perlu peka tentang permasalahan ini.

''Berhubunglah dengan sesiapa sahaja yang dikenali dan pengetahuan mengenai pemeriksaan awal terhadap penyakit ini boleh mencegah daripada terus menjadi mangsa kepada penyakit ini,'' terangnya.

Katanya, apabila dapat mengesan kanser lebih awal, rawatan yang tepat mampu menyelamatkan nyawa.

Harapan bayi jantung berlubang

Posted: 12 Oct 2010 10:52 PM PDT


DR. LEE Weng Seng menjalankan prosedur pembedahan dengan penuh teliti.


HATI mana yang tidak tersentuh. Tambahan lagi bagi mereka yang bergelar ibu. Saat menatap bagaimana satu tubuh kecil dihiris dadanya, perasaan cemas dan takut sukar ditepis.

Namun memikirkan itu semua demi menyelamatkan satu nyawa yang baru menjengah dunia, perasaan itu dibuang jauh-jauh.

Itu yang dialami penulis tatkala diberi peluang melihat dengan lebih dekat bagaimana pembedahan membaiki kecacatan septal ventrikular (VSD) dijalankan.

Pembedahan tersebut dilakukan oleh Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr. Lee Weng Seng di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur terhadap seorang bayi berusia tiga bulan yang dilahirkan tidak cukup bulan dengan komplikasi jantung berlubang.

Melihat riak wajah doktor, pakar bius dan pembantu mereka yang sentiasa tenang sepanjang 45 minit penulis berada di situ meyakinkan diri bahawa ia pasti berjalan dengan lancar.

Memikirkan perasaan cemas penulis yang tiada langsung pertalian dengan si pesakit, tertanya juga bagaimana pula dengan ibu dan bapa bayi tadi? Pastinya perasaan gemuruh mereka sukar dibendung lagi.

Keluar dari bilik pembedahan menuju ke wad kanak-kanak, penulis sempat berkongsi pengalaman dengan pasangan Chin Kwee Yaw, 43, dan Mak Yea, 37, bapa serta ibu kepada Chin Jia Ern, lapan bulan.

Bayi perempuan comel itu tidur nyenyak di atas katil ditemani ibunya. Tiada lagi bunyi nafas yang menyesak dada.

Melihat keadaan mereka yang sedikit tenang selepas anak kesayangan selamat menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu, keyakinan penulis tinggi bahawa harapan kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah jantung untuk menjalani hidup normal semakin cerah dengan teknologi perubatan terkini.

Penyakit Jantung Kongenital (CHD)

Biasa disebut jantung berlubang, CHD berlaku apabila terdapat kerosakan pada struktur jantung dan saluran utama sejak bayi di dalam kandungan lagi. Banyak jenis kerosakan jantung berlaku, kebanyakannya sama ada menghalang aliran darah dalam jantung atau saluran berhampiran dengannya atau menyebabkan darah mengalir dalam jantung pada arah yang berlawanan.

Menurut Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, satu dalam setiap 100 bayi yang lahir di negara ini berkemungkinan mengalami masalah jantung.

Dengan purata 500,000 kelahiran setiap tahun, dianggarkan 5,000 bayi di Malaysia berisiko menderita sakit jantung kongenital setiap tahun.

Secara global pula, insiden penyakit jantung kongenital di kalangan bayi yang baru dilahirkan berlaku antara empat hingga sembilan setiap 1,000 kelahiran. Justeru setiap tahun, terdapat hingga 1.5 juta kes seluruh dunia.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keadaan itu, Konsultan Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik dari hospital yang sama, Dr. Lim Miin Kang berkata, CHD merupakan penyakit yang disebabkan warisan (genetik) dan juga persekitaran.

"Jika ibu atau bapa mempunyai sakit ini, bayi yang dilahirkan mempunyai risiko 10 peratus mengalaminya," katanya.

Selain itu katanya, faktor persekitaran antenatal termasuk jangkitan ketika mengandung (rubella), pengambilan alkohol atau dadah tertentu dan penyakit seperti kencing manis dan SLE turut menyumbang kepada permasalahan.

Bagaimana ia dikesan?

Dr. Lim menjelaskan bayi yang mengalami kecacatan jantung boleh dikesan ketika di dalam kandungan (bagi kes major) dan juga ketika dilahirkan (kes minor).

"Ujian ultrasound ketika ibu sedang mengandung mampu mengesan sebarang keganjilan pada denyutan jantung. Ia boleh dikesan seawal usia empat bulan," katanya.

Menghurai lebih lanjut, beliau berkata, rentak normal jantung adalah "lup dup" dan jika ia berlainan seperti "lup cup", bererti terdapat kecacatan pada jantung tersebut.

Jelasnya lagi, bayi CHD dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu bayi biru dan tidak biru (blue dan non-blue baby).

"Bayi tidak biru menghadapi masalah lubang pada jantung atau masalah dengan injap atrial. Jenis yang paling banyak ditemui adalah kecacatan septal ventrikular (VSD) dan atrial septal defect (ASD).

"Bayi biru pula mempunyai masalah halangan yang menyekat pengaliran darah ke paru-paru (tersumbat)," ujarnya.

Antara simptom yang biasa ditemui dalam kes kecacatan jantung kongenital adalah;

* jantung berbunyi (murmur)

* cyanosis (biru di badan atau muka)

* kesukaran menyusu

* nafas kencang

* berat badan tidak bertambah secara normal

* pendarahan

Dr. Lim berkata, jika ibu bapa mendapati anak mereka mempunyai simptom yang dinyatakan, dinasihatkan membawa ke klinik berhampiran dengan segera untuk pemeriksaan.

Jika terdapat kemungkinan masalah jantung major, bayi tersebut memerlukan pembedahan segera.

Dr. Lim menyatakan terdapat beberapa ujian yang dapat dijalankan untuk menentukan jika bayi atau kanak-kanak mempunyai masalah jantung.

Ujian ECG (electrocardiogram) katanya, akan dijalankan untuk memantau denyut jantung dan menentukan sama ada ia normal atau sebaliknya.

"Imbasan sinar-X dada juga mungkin dilakukan untuk melihat jika jantung membesar (bengkak) atau mempunyai masalah paru-paru. Ujian echocardiogram (ultrasound jantung) pula dapat mengesan beberapa kecacatan struktur jantung," jelasnya.

Mahu dagu bulat atau panjang?

Posted: 12 Oct 2010 10:52 PM PDT


TEKNOLOGI moden menaawarkan pelbagai kaedah untuk mendapatkan dagu yang cantik bersesuaian dengan bentuk wajah.


Sahabat saya Sherry gemar membelek belek gambar-gambar artis dan model dari luar negara. Dia sukakan wajah jelita model tersebut yang rata-ratanya berhidung mancung dan berdagu runcing.

"Kalaulah saya dapat wajah macam ni....alangkah seronoknya,'' kata Sherry. ''Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan bentuk wajah yang sempurna seperti ini?" Tanya Sherry kepada saya pada suatu hari.

Sebenarnya wajah model-model tersebut kelihatan cantik didalam gambar kerana ia sangat simetri. Simetri memainkan peranan yang penting bagi membolehkan seseorang kelihatan menarik di dalam gambar atau fotogenik. Fotogenik adalah suatu aset yang penting sekiranya seseorang ingin menjadi model foto.

Lagipun dengan kemajuan teknologi komputer dan wujudnya facebook ramai juga yang ingin tampil fotogenik kerana mahu setiap gambar yang dimuat naik ke facebook kelihatan cantik dan persis gaya seorang model.

Simetri wajah boleh dicapai apabila peratusan jarak dari dahi ke hidung, dari hidung ke bibir dan dari bibir ke dagu adalah 33 peratus iaitu sama banyak. Apabila wajah tidak simetri maka ia kelihatan tidak sempurna.

Tulang rahang atau mandible ialah satu struktur yang membentuk dagu kita dan mempunyai struktur khusus bagi perlekatan gigi. Didalamnya terdapat saraf yang menghubungkan gigi kita dan juga salur darah halus yang memberi nutrisi pada gigi. Di kiri dan kanan tulang mandible bersambung dengan tulang tengkorak yang dinamakan tulang temporal. Penyambungan ini dinamakan TMJ (temporo mandibular joint).

TMJ merupakan satu struktur penting kerana ia merupakan tempat yang membolehkan kita menggerakkan rahang untuk bercakap, makan dan sebagainya.

Selain tulang ini dagu juga dibentuk oleh sekelompok tisu yang terdiri daripada sel lemak, sel kolagen, sel elastin dan hyaluronik yang di sebut sebagai tisu tisu konektif. Kehadiran tisu-tisu sebegini yang seimbang membentuk dagu runcing dan tajam membawa kepada keseimbangan wajah.

Sebenarnya tidak semua orang perlukan dagu yang runcing bagi kelihatan cantik dan menarik. Seseorang berwajah bulat memerlukan dagu yang tajam bagi kelihatan menarik manakala seseorang yang berwajah panjang dan cengkung pula perlu mempunyai bentuk dagu yang bulat sedikit bagi menghasilkan wajah yang simetri. Pendek kata bentuk dagu perlulah disesuaikan juga dengan wajah seseorang bagi menghasilkan bentuk yang seimbang. Ada juga mereka yang mempunyai dagu berlekuk. Dagu berlekuk berlaku di sebabkan struktur tulang mandible.

Dagu yang pendek membuatkan wajah tampak bulat. Lemak di bawah dagu juga mudah berkumpul di kalangan mereka yang mempunyai dagu pendek.

Apabila saya diminta membuat analisis wajah seseorang, saya akan terlebih dahulu melihat keadaan simetri pada wajahnya. Selepas itu barulah perbincangan diadakan bagi memastikan apakah yang di mahukan oleh para pelanggan itu.

Rawatan bagi membentuk simetri pada wajah boleh dilakukan dengan banyak cara. Teknik serdev misalnya mengangkat pipi agar tidak kendur. Ia juga boleh mengubah bentuk dagu. Teknik serdev bagi dagu menggunakan benang serdev yang sangat halus. Ia boleh memanjangkan dagu dan menjadikan dagu tampak kecil dan runcing. Teknik ini juga sesuai digunakan bagi mereka yang mahu kan dagu yang bulat. Teknik berbeza akan menghasilkan bentuk yang berbeza. Kelebihan teknik serdev adalah kita tidak memasukkan apa apa pun ke dalam kulit. Benang halus di gunakan bagi mengikat dan mengumpulkan lelemak dan elastin semula jadi pada dagu. Ia di ikat bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki. Ubat bius suntikan sahaja yang digunakan dan ia juga tidak mengambil masa yang panjang. Memadai hanya sepuluh minit sahaja bagi mendapatkan hasil yang baik.

Selepas rawatan tidak ketara bengkaknya dan dalam masa tiga hingga lima hari sudah pasti kita dapat melihat perubahan yang sangat ketara.

Kaedah filler juga sesuai bagi membentuk wajah terutamanya dagu. Filler dari jenis bio alcamid bagus digunakan kerana ia tahan lama dan mampu memberikan bentuk yang cantik dan runcing. Dewasa ini terdapat juga jenis filler yang berasaskan kalsium. Ia juga sangat baik kerana mudah di bentuk dan memberikan rupa bentuk yang sangat natural.

Cara suntikan filler dibuat juga terdapat banyak cara. Doktor akan memastikan bentuk yang paling sesuai sebelum suntikan dibuat. Dengan penggunaan filler kita juga dapat mendapat bentuk dagu yang kita sukai.

Sudah tentulah teknologi implan merupakan yang paling baik kerana kita dapat memilih saiz dan bentuk implan yang sesuai dengan bentuk wajah seseorang. Implan yang diperbuat daripada plastik tahan lama. Dagu yang comel menarik perhatian. Ia menjadikan wajah seseorang tampak lebih jelita.

Selain wajah yang simetri mempunyai kulit yang licin juga adalah penting. Kulit yang licin dan pori-pori yang kecil apabila disapukan mekap akan tampak licin dan cerah. Ini membantu menjadikan seseorang tampak lebih jelita apabila berfoto.

Untuk mendapatkan kulit yang licin tanpa noda hitam dan biji-biji putih, rawatan yang sesuai adalah laser pixel yang mencerahkan kulit dan laser jenis Isolaz yang membuang sebum serta mematikan kuman jerawat dalam kulit.

Laser isolaz baik bagi menyedut semua minyak dan mematikan jerawat. Ia mempunyai dua fungsi iaitu mematikan kuman jerawat manakala dan mengurangkan sebum. Apabila simetri wajah dicapai dan kulit pula mulus dan halus sudah tentu penampilan lebih cantik dan bergaya.

Menangani kesan radikal

Posted: 12 Oct 2010 10:51 PM PDT

Saya membelikan ibu suplemen Asid alfa lipoik atas saranan ahli farmasi sebagai vitamin tambahan untuk menangani kesihatan saraf memandangkan ibu seorang penghidap diabetes. Memandangkan ia juga suplemen anti oksida, saya bercadang ingin mengambilnya untuk menangani kesan radikal bebas dan menjaga kesihatan. Penerangan mengenainya mungkin boleh membantu saya.

Jawapan

Radikal bebas adalah produk sampingan yang terhasil daripada proses pengoksidaan. Namun, radikal bebas juga berpunca daripada persekitaran yang tercemar, asap rokok dan asap kenderaan, pendedahan berlebihan kepada sinaran ultra ungu, tekanan fizikal dan emosi, pengambilan lemak tepu yang tinggi dan pelbagai lagi.

Kehadiran radikal bebas berlebihan dalam tubuh akan merosakkan sel dan menjejaskan fungsi normal sel. Radikal bebas merosakkan membran (menjadikan kapilari lebih rapuh dan ini dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular), merosakkan protein yang boleh menjurus kepada katarak serta pemecahan elastin dan kolagen yang berkait rapat dengan kedut dan penuaan.

Selain boleh mengakibatkan reaksi kimia yang boleh merosakkan sel dalam tubuh, radikal bebas berlebihan ini akan menyukarkan tubuh untuk melawan jangkitan yang seterusnya boleh menjurus kepada kerosakan tisu-tisu dan organ-organ dalaman tubuh.

Untuk menangani kesan radikal bebas, tubuh kita memerlukan nutrien anti oksida yang mencukupi. Walaupun tubuh kita menghasilkan nutrien anti oksida seperti asid alfa lipoik, namun adakalanya ia tidak memadai akibat terdedahnya kepada pencemaran yang berlebihan, masalah kesihatan, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat mahupun akibat penuaan.

Di kalangan penghidap diabetes ia juga didapati mampu meningkatkan fungsi insulin dengan mengurangkan kerintangan insulin dalam usaha untuk mengawal glukosa darah dan melegakan diabetic neuropati (kerosakan saraf akibat diabetes). Kerosakan saraf ini merupakan antara komplikasi lazim diabetes yang menjurus kepada banyak masalah kesihatan seperti masalah penglihatan, buah pinggang dan sebagainya.

Hasil kajian mendapati bahawa nutrien anti oksida iaitu asid alfa lipoik memberi kesan yang menyakinkan sebagai pelindung kepada radikal bebas untuk sel-sel tubuh. Ini memandangkan ia anti oksida yang larut lemak dan air.

Nutrien anti oksida ini boleh diserap dan menembusi membran sel. Sifat uniknya ini memberi kesan perlindungan terhadap radikal bebas yang baik untuk kedua-dua persekitaran sel berbanding anti oksida lain yang boleh melindungi salah salah satu daripadanya. Sifat yang dimilikinya ini tentunya memberi manfaat bukan sahaja kepada penghidap diabetes, tetapi juga untuk kesihatan umum secara amnya.

Risiko biarkan tubuh kontang

Posted: 12 Oct 2010 09:58 PM PDT


BIBIR kering merupakan salah satu tanda dehidrasi yang perlu diberi perhatian.


Tubuh manusia memerlukan air untuk mengekalkan darah dan cecair-cecair lain secukupnya bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Di samping cecair badan, tubuh juga memerlukan bahan elektrolit, yang terdiri daripada garam yang lazimnya terdapat di dalam darah, cecair tubuh yang lain dan sel-sel.

Dehidrasi merupakan kehilangan air dan garam daripada badan. Dalam bahasa Melayu secara umumnya, ia boleh dimaksudkan sebagai kekontangan. Badan kita boleh kehilangan cecair melalui pelbagai cara. Antaranya adalah:

* Ketika membuang air kecil.

* Semasa muntah atau mengalami cirit-birit.

* Ketika berpeluh.

* Melalui paru-paru semasa bernafas.

Jika badan kehilangan sejumlah besar cecair dan garam dan tidak digantikan dengan segera seperti meminum air, badan akan kekeringan atau kekontangan. Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi, golongan yang paling mudah mengalami masalah ini adalah:

* Bayi yang berumur di bawah 1 tahun.

* Warga tua.

* Mereka yang mengalami demam.

* Penduduk yang tinggal di kawasan beriklim panas.

Apabila disebut dehidrasi kita juga terbayang manusia di tengah padang pasir yang sedang kehausan atau seorang atlet baru selesai menghabiskan acara sukan berat.

Benda yang paling berharga dalam keadaan itu adalah air yang dianggap penyambung nyawa.

Namun dehidrasi bukan setakat itu. Bukan sekadar rasa dahaga yang kemudiannya boleh dihilangkan dengan hanya meminum air. Sebaliknya dehidrasi boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lantaran air merupakan elemen paling penting dalam tubuh manusia. Justeru kehilangan air dalam badan yang banyak mengancam nyawa seseorang, dalam keadaan itu kita sebenarnya mengalami dehidrasi kronik.

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang dehidrasi kronik dan bagaimana untuk mengetahui jika seseorang mengalami keadaan tersebut.

Kebanyakan kita percaya badan hanya memerlukan air apabila kita berasa dahaga. Sebenarnya tidak begitu. Apabila mulut berasa kering dan kita berasa dahaga, tubuh kita sebenarnya telah benar-benar kontang. Mungkin sesuatu yang mengejutkan jika diberitahu mulut yang kering adalah petunjuk keadaan dehidrasi teruk. Ketika itu anda telah berada pada paras dehidrasi kronik.

Badan kita dilengkapi dengan sistem pintar. Sebelum sampai ke tahap mulut berasa kering, badan akan menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan memulakan proses mengagihkan semula air yang masih ada di dalam badan. Apabila tubuh dalam keadaan dehidrasi kronik maka rasa letih, hilang tenaga, sukar membuang air besar, kesukaran penghadaman, tekanan darah rendah atau tinggi, ulser perut, kesukaran pernafasan, ketidakseimbangan asid/alkali, lebihan berat badan dan obesiti, ekzema, kolesterol, jangkitan air kencing reumatisme dan penuaan akan berlaku.

Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air, otak pula mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air. Ini bermakna kita bergantung kepada air sebagai asas kewujudan kita di muka bumi dan bukannya soda, jus, kopi, teh atau minuman keras. Kita memerlukan air untuk membolehkan sel-sel dalam dalam berfungsi mengikut yang sepatutnya.

Kita perlu tahu bahawa kehilangan satu peratus air daripada keseluruhan berat badan akan mengakibatkan kita hilang 10 peratus keupayaan fizikal. Apabila tubuh terdedah kepada suhu 30 darjah celcius, air yang hilang adalah sebanyak tiga liter setiap jam atau lebih daripada 4 peratus berat badan, bermakna kita boleh menjangkakan kehilangan 40 peratus keupayaan fizikal. Jika kita bekerja di bawah terik matahari maka kadar kehilangan tenaga adalah lebih.

Dalam suasana persekitaran yang panas, anda memerlukan lebih banyak air untuk kekal bertenaga. Untuk kesejahteraan fizikal dan mental, kualiti serta kuantiti air yang diambil mesti diambil kira.

Lapar atau dahaga?

Jika kita memerlukan air, biasanya kita memilih sama ada minum air atau mengambil makanan yang mengandungi air. Kebiasaannya kita akan memilih makanan daripada air. Dalam kebanyakan kes, kita tersilap antara lapar dan dahaga menyebabkan kita makan banyak untuk memenuhkan keperluan air dalam badan. Hasilnya kita menambah lemak terkumpul terutama jika makanan yang diambil adalah makanan siap proses atau makanan segera.

Semakin banyak kita makan, semakin banyak air diperlukan untuk proses penghadaman dan menyingkirkan sisa buangan dari badan.

Tubuh kita terdiri daripada air dan tanpa air, kita bernasib baik jika dapat bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari. Biarpun begitu, ramai daripada kita berhadapan dengan suasana tidak selesa dan masalah kesihatan semata-mata kerana kita tidak minum air yang mencukupi.

Albert Einstein pernah berkata, melakukan perkara yang sama berkali-kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza adalah. Oleh itu pastikan air dalam badan kita mencukupi dan lakukannya setiap hari kerana hasilnya adalah sama iaitu untuk mengekalkan kecergasan dan membolehkan sel-sel badan berfungsi.

ATM benteng pertahanan negara

Posted: 12 Oct 2010 09:57 PM PDT


Anggota wanita daripada Tentera Darat (TD) melaungkan ikrar sempena perbarisan Hari Ulang Tahun ke-77 ATM.


KOMITMEN Kami, Keyakinan Anda" merupakan tema Hari Ulang Tahun ke-77 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, sambutan hari ulang tahun ATM yang sepatutnya pada 16 September setiap tahun diadakan pada 6 Oktober lalu bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ia bertujuan memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia yang disambut pada tarikh yang sama.

Bagi warga ATM dan bekas-bekas anggota tentera termasuk yang pernah berkhidmat semasa pentadbiran British, ia pasti mempunyai pelbagai pengertian berhubung ulang tahun tersebut.

Banyak pengalaman yang ditempuhi warga tentera sebelum negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah kini.

Bagaimanapun mungkin agak berbeza bagi kalangan orang awam yang tidak begitu menghayati ulang tahun itu kerana mereka berada di luar organisasi berkenaan.

Apabila tiba tarikh 16 September, warga ATM adalah golongan paling berbangga kerana selama ini pun merekalah yang menjadi modal insan di belakang kestabilan dan keamanan negara.

Tanpa modal insan yang bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

Sehubungan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, tema "Komitmen Kami, Keyakinan Anda" masih dikekalkan pada ulang tahun kali ini bertujuan meneruskan kecemerlangan ATM dalam menjaga kedaulatan tanah air tercinta.

"Kesinambungan usaha dan petunjuk yang konsisten telah meneguhkan keyakinan pentadbir negara, rakyat jelata serta rakan global bahawa Malaysia mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi daripada segi keutuhan kekuatan dan integriti pertahanan.

"Untuk mengekalkan kecemerlangan itu, ATM hendaklah terus mampu memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Ulang Tahun ke-77 ATM baru-baru ini.

Selaras dengan gagasan 1Malaysia

Matlamat untuk meneruskan kecemerlangan ATM adalah bertepatan dengan idealisme gagasan 1Malaysia yang merupakan resipi utama ke arah memupuk perpaduan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Justeru, Azizan berkata, bagi mengekalkan tahap komitmen yang tinggi demi memelihara keyakinan kerajaan dan rakyat, agenda transformasi yang telah direncana menerusi Pelan ATM Dimensi ke-4 atau 4D MAF hendaklah digerakkan.

Si Kamal dan A. Galak: Serupa tapi tak sama

Posted: 12 Oct 2010 09:55 PM PDT


Bergambar kenangan dengan pelakon Gerak Khas yang mirip wajahnya, A. Galak.


MELIHAT kepada raut wajahnya, mungkin ramai yang akan terpedaya dan menyangka lelaki ini adalah pelakon drama bersiri Gerak Khas yang terkenal dengan imej misai melentingnya iaitu A. Galak.

Malah, pernah beberapa kali dia ditegur oleh orang ramai yang menjerit-jerit memanggilnya dengan nama watak yang dilakonkan dalam drama itu iaitu Sarjan Misai.

"Saya bukan A. Galak atau Sarjan Misai. Saya adalah SI Kamal Misai. Mungkin sudah ditentukan Tuhan saya dikurniakan penampilan yang seiras dengan watak terkenal itu," demikian kata Sub Inspektor (SI) Kamaruddin Kamsa setiap kali ada yang menyangka dialah yang memegang watak yang tidak kurang penting dalam drama bersiri popular itu.

Raut wajahnya yang bujur selain mempunyai misai yang melentik ke atas sering mengingatkan kita dengan watak Sarjan Misai yang dilakonkan A. Galak atau Zakaria Ahmad.

Keunikan misainya itu menyebabkan Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai SI Kamal terkenal di kalangan pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan masyarakat di sekelilingnya.

Menurutnya, bermisai di kalangan pelatih mahupun anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dihalang. Namun, setiap anggota atau pegawai tidak boleh menyimpan misai yang melebihi atau menutupi bibir selain memastikan ia sentiasa kemas.

Namun, anggota dan pegawai polis tidak dibenarkan menyimpan jambang atau janggut.

Misai Kamal yang melentik itu dijadikan sebagai identiti bagi memudahkan orang mengenalinya memandangkan hanya beliau sahaja yang mempunyai misai seperti itu.

Berbicara mengenai tugasnya, Kamal merupakan individu yang bertanggungjawab melatih dan memberi tunjuk ajar seni mempertahankan diri, kawad dan latihan jasmani kepada pelatih Pulapol.

Beliau yang bertugas sebagai jurulatih di Kem Komandan Pulapol Jalan Semarak sejak 1977 sememangnya seorang yang komited dan dedikasi dalam melaksanakan tugasnya.

"Setiap kali bertugas, saya akan pastikan semua pelatih menjalani rutin harian mengikut apa yang telah ditetapkan. Sekiranya mereka gagal mematuhinya, tindakan akan diberikan tanpa mengira siapa," katanya.

Maka tidak hairanlah wajahnya yang garang dan tegas membuatkan setiap pelatih baru melangkah masuk ke Pulapol akan kecut perut.

Namun, Kamal menyanggah semua dakwaan itu dan menyatakan dia sebenarnya mempunyai peribadi dan perwatakan seorang yang penyayang.

Menurutnya lagi, tanggungjawab melatih bakal polis merupakan satu amanah yang cukup berat untuk dipikul bagaimanapun, beliau tidak pernah mengeluh malah menganggapnya ia sebagai tugas yang mencabar dirinya.

Antara latihan yang diberikan kepada pelatih termasuk berkawad, teknik asas bela diri, kaedah berlawan, cara membuat tangkapan dan bertempur.

Katanya, seseorang pelatih perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi untuk bergelar polis.

"Salah satu kriteria yang perlu ada pada polis ialah mempunyai daya tahan yang tinggi. Sekiranya dalam latihan mereka tidak mempunyai tahap fizikal dan mental yang kuat bagaimana mereka hendak mempertahankan negara suatu hari nanti.

"Justeru, pelatih perlu menjalani pelbagai latihan fizikal, jasmani dan rohani supaya apabila turun beraksi ke gelanggang umum, mereka akan bersedia dan tabah menghadapi segala cabaran yang dilalui," ujarnya.

Beliau juga sangat menekankan aspek penampilan dan tingkah laku yang baik kepada pelatih apabila hendak menjadi polis.

Menurutnya, di kaca mata masyarakat, polis adalah individu yang penuh disiplin serta bertanggungjawab di dalam mencegah jenayah dan menjaga keamanan negara.

Beliau beliau juga aktif dalam Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia. Beliau ditugaskan sebagai jurulatih silat dalam pertubuhan tersebut dan telah mengajar ramai pesilat.

Kepakaran dan pengalamannya selama 35 tahun dalam seni silat gayung membolehkan beliau diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Seni Gayung Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam sandang tertinggi iaitu Khalifah Besar.

"Seluruh ahli keluarga saya juga turut mempelajari seni silat gayung," katanya.

Kamal diberi kepercayaan untuk menjadi wasit, juri dan ketua dalam beberapa pertandingan silat peringkat kebangsaan.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) pada tahun 1995.

Walaupun tugasan banyak dilakukan di dalam pulapol namun, beliau juga tidak ketinggalan untuk menyertai pelbagai misi bantuan antaranya misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Batambang, Kemboja dan misi menyelamat di Jambi, Sumatera Selatan di Indonesia.

Beliau turut terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana di negara kita.

CUTI CUTI CINTA- Sekadar Biasa

Posted: 12 Oct 2010 09:47 PM PDT

Tak banyak yang boleh diharapkan daripada filem kedua romantik arahan Ahmad Idham, Cuti-Cuti Cinta (CCC). Masih lagi terikat dengan watak dan lawak stereotype, Cuti-Cuti Cinta mengisahkan cinta antara dua darjat versi moden.

Masih menjadikan watak lelaki lembut sebagai sandaran untuk membuatkan penonton ketawa. Ditambah pula dengan gaya percakapan orang berada seperti Tan Sri yang dilihat berlebih-lebihan. Bagi ManggaOnline (MO) sesetengah babak dalam filem ini sengaja mengadakan adegan lucu yang dilihat sudah basi.

Namun, Idham mempunyai visinya sendiri. Dilihat mampu untuk menarik penonton ke pawagam dengan gandingan segar Farid Kamil dan Nora Danish.

MO mempersoalkan filem Melayu sejak kebelakangan ini dilihat sekadar mencedok isu semasa dan diberikan nafas segar dalam pembikinannya. Sekadar mengusik, MO cuba menyatakan jumlah kutipan tidak menggambarkan kualiti isi kandungan sesebuah filem itu, namun pantas disangkal Idham.

"Kualiti itu subjektif. Macam filem saya sendiri, saya gunakan kamera high definition (HD) untuk mendapatkan kualiti terbaik. Saya sudah arahkan 20 lebih filem dan semuanya hit mencecah kutipan lebih daripada RM2 juta. Kualiti bagaimana yang dimaksudkan? Anda katakan filem saya tiada kualiti, namun kutipan yang dicatat menyatakan sebaliknya.

"Sebenarnya filem yang ringan lebih sukar untuk dibuat berbanding filem berat. Dan kita harus tengok lenggok filem dan permintaan penonton kerana perjalanan industri memang begitu.

"Dan kenapa saya buat watak lelaki lembut pada lakonan Cat Farish dalam CCC kerana saya lihat majoriti yang bekerja di bahagian house keeping memang begitu. Saya hanya kekal imej stereotype yang ada kerana kadang kala kita tak dapat lari daripada klise," ujarnya.

Namun masih ada yang dapat dibanggakan dalam CCC. Sentuhan sinematografi yang menarik dipercayai dapat menarik penonton melihat panorama indah yang dipersembahkan.

Lokasi penggambaran yang menarik juga merupakan satu kelebihan kepada CCC. Filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Cuti Cuti Cinta mengisahkan Eeva Elyana (Nora Danish) anak tunggal Tan Sri Zaini (Zaibo) yang kecewa dipermainkan tunangnya, (Remy) Zed Zaidi. Tersepit dengan masalah yang dihadapi, Eeva mengambil keputusan melarikan diri tanpa arah tujuan. Kekecewaanya itu membawa Eeva ke pusat peranginan di Morib.

Sikap Eeva yang gemar mendatangkan masalah kepada pekerja di hotel menemukannya dengan Omar Rudy (Farid Kamil). Sikap Omar yang melayani karenah Eeva tidak disenangi rakan sekerja yang lain iaitu Maliq (Adeep TFC), Kris Dayana (Wangi TFC) dan Fausrina (Zizie TFC). Sikap jeliknya telah menyebabkan mereka terperangkap di sebuah pulau. Saksikan kesudahan filem ini pada 21 Oktober ini di seluruh pawagam.

Mahligai gemilang

Posted: 12 Oct 2010 09:45 PM PDT


Pasangan pengantin bersanding di pelamin yang penuh dengan elemen tradisional Melayu.


BAK pinang dibelah dua, sama cantik sama padan. Itulah yang boleh digambarkan pada pasangan pengantin baru Angkasawan Negara; Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Datin Dr. Halina Mohd. Yunos.

Mengabdikan tarikh 10 Oktober 2010 (10.10.10) sebagai tarikh bersejarah buat mereka memulakan kehidupan sebagai suami isteri. Tarikh itu juga merupakan tarikh ulang tahun Dr. Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 2007.

Dimulakan dengan majlis akad nikah pada sebelah paginya, Dr. Sheikh Muszaphar, 38, sah menjadi suami kepada Dr. Halina, 30, hanya dengan sekali lafaz. Ia disempurnakan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Lt. Kol. (B) Mohd. Yunos Mohd. Ali dengan mas kahwin RM80.

Dr. Halina yang jelita mengenakan baju kurung moden warna putih gading menerima sembilan dulang hantaran terdiri daripada tepak sirih, sepasang persalinan, minyak wangi, beg tangan dan rantai, coklat, kek dan buah-buahan.

Pihak perempuan pula membalas dengan 11 dulang hantaran berupa tepak sirih, al-Quran dan sejadah, minyak wangi, sepersalinan baju Melayu serta butang, tali pinggang dan dompet, jam, kain songket, coklat, kek dan buah-buahan.

Majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya turut disaksikan kira-kira 1,500 tetamu terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sanak saudara, rakan-rakan serta orang ramai.

Turut hadir memberikan restu ialah ibu Dr. Halina, Habibah Endan, kedua ibu bapa Dr. Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraidah Sheikh Ahmad.

Tidak ketinggalan 80 angkasawan luar negara yang kebetulan menghadiri Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa (ASE) pada 5 Oktober lalu.

Sejurus upacara pernikahan itu, Dr. Sheikh Muszaphar melakukan solat sunat sebagai tanda kesyukuran dan kemudian membatalkan air sembahyang dengan menyarung sebentuk cincin ke jari manis isterinya.

Dr. Halina turut menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis suaminya manakala ibu mentuanya pula memakaikan seutas gelang tangan pada pengantin perempuan.

Dr. Sheikh Muszaphar ketika ditemui pada majlis persandingan bersama-sama peminatnya di pekarangan masjid itu berkata, meskipun sudah berumah tangga beliau tidak akan mengabaikan tugasnya sebagai angkasawan negara.

''Saya masih Dr. Sheikh Muszaphar yang dulu dan saya akan tetap meneruskan tugas memberi ceramah kepada pelajar-pelajar di luar sana.

''Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan selama ini termasuklah mendoakan keselamatan saya sebelum ini ketika berada di angkasa lepas,'' katanya.


Upacara memotong kek yang berbentuk kapal angkasa Soyuz TMA-11.


Beliau melahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahan itu berjalan lancar seperti dirancang setelah menanti detik bersejarah untuk ke jenjang pelamin dengan sabar selama lapan tahun.

Sementara itu, Dr. Halina yang merupakan pakar bius di Hospital Selayang berharap semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan rumah tangga dan perkahwinan mereka kekal sehingga ke akhir hayat.

''Ibu meninggalkan pesan supaya menjadi seorang isteri yang baik dan taat kepada suami dan saya berharap dapat menimang anak suatu hari nanti,'' katanya penuh gembira.

Dr. Sheikh Muszaphar bersama isterinya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat-peminatnya yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis pernikahan tersebut.

Pasangan bahagia itu merancang untuk berbulan madu setelah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah musim ini atas jemputan khas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Sultan Salman.

Pada sebelah malamnya pula, kemuncak cinta pasangan itu terungkap pada majlis persandingan yang dilangsungkan penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dianggap perkahwinan gemilang abad ini, pasangan tersebut mengenakan busana rekaan daripada butik Cosry iaitu sepersalinan baju Melayu rona putih dipadankan dengan kot, tanjak dan berbengkung songket.

Manakala Dr. Halina nampak ayu berkebaya moden dengan serakkan batu-batu permata warna biru muda.

Untuk upacara memotong kek pula pasangan mempelai menukar persalinan kepada konsep moden berwarna perak rekaan Datuk Bernard Chandran.

Majlis persandingan tersebut yang dikhaskan kepada 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada golongan diraja, orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan rapat mengetengahkan tema perkahwinan Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan.

Pada majlis tersebut juga turut ditampilkan keindahan budaya tradisi dan adat resam masyarakat Melayu selain acara kesenian seperti gurindam, zapin dan tarian tradisional Melayu.

65 angkasawan berbaju Melayu

Posted: 12 Oct 2010 09:44 PM PDT


Pasangan pengantin mengabadi kenangan bersama kumpulan angkasawan yang masing-masing segak berbaju Melayu.


Perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd. Yunus mencatat sejarah tersendiri apabila majlis tersebut turut dihadiri oleh 65 angkasawan dari luar negara.

Secara kebetulan kesemua mereka berada di Kuala Lumpur sempena Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa yang bermula 5 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Menariknya pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), kesemua angkasawan berkenaan segak dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan songkok.

Malah pasangan mereka juga kelihatan anggun dengan busana baju kurung yang disediakan khas oleh Jakel.

Penolong Pengurus Imej Jakel, Mohamad Azizi Wahab memberitahu, pihaknya menyediakan 150 pasang baju Melayu yang dilengkapi dengan samping dan songkok.

''Kesemua ini kita sediakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut memandangkan Dr. Sheikh Muszaphar merupakan angkasawan pertama negara,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan, penajaan tersebut merupakan tanggungjawab sosial syarikatnya kepada masyarakat.

Malah ia juga merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan baju tradisional negara kepada dunia luar.

Katanya lagi, pelbagai warna dan corak disediakan bagi memudahkan kumpulan angkasawan berkenaan memilih warna yang digemari.

Malah, pihaknya juga turut menyediakan baju Melayu yang bersaiz besar mengikut saiz Eropah.

Sementara itu, ketika sesi mencuba pakaian yang berlangsung di Hotel Istana sehari sebelum majlis persandingan, kesemua mereka kelihatan teruja dan seronok apabila berpeluang untuk memakai baju kebangsaan itu.

Salah seorang angkasawan, Klaus Dietreh Flade dari Jerman menyatakan keterujaannya apabila berpeluang mencuba pakaian tradisional masyarakat Melayu.

''Saya tidak sabar untuk mencuba pakaian tradisional ini yang sememangnya sangat unik dan menarik,'' ujarnya yang ditemani isteri.

Beliau yang bangga dapat mencuba memakai pakaian kebangsaan itu memilih warna coklat cair untuk di pakai majlis persandingan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Beliau yang merupakan juruterbang di sebuah syarikat penerbangan di Jerman menjelaskan kehadirannya pada majlis itu merupakan penghormatan kepada seorang teman yang pernah bekerjasama sebelum ini.

''Biarpun tidak pernah bertemu, namun inilah sokongan dan penghormatan saya untuk kepada Dr. Sheikh Muszaphar yang pernah menjejak kaki ke angkasa lepas,'' akuinya jujur.

Sementara itu, seorang lagi angkasawan, Sergei Avdeyev Va Siljevich, 54, turut berasa seronok kerana berpeluang meraikan majlis istimewa sahabatnya.

''Saya seronok kerana dijemput untuk menghadiri majlis yang bersejarah ini,'' ujarnya yang berkenalan dengan Dr. Sheikh Muzaphar ketika menghadiri seminar di Republik Czech sedikit masa lalu.

Angkasawan dari Rusia ini juga teruja kerana berpeluang mencuba baju Melayu dan dibawa pulang untuk di tunjukkan kepada rakan-rakan di negaranya.

''Tidak sabar rasanya untuk memakai baju ini dan ke majlis yang penuh adat itu,'' ujarnya sambil mendoakan kebahagiaan kepada pasangan pengantin baru itu.

Faridah kagum, Norzizi terharu

Posted: 12 Oct 2010 09:43 PM PDT


FARIDAH Merican (kanan) dan Norzizi Zulkifli antara dua wanita yang jiwa mereka kental untuk terus memartabatkan teater tempatan.


KALAU duduk berbicara dengan dua wanita yang boleh disifatkan sebagai wanita besi dalam bidang teater ini, kesungguhan mereka membicarakan mengenai teater amat menyakinkan

Meskipun mereka lahir dari generasi yang berbeza, baik Datuk Faridah Merican mahupun Norzizi Zulkifli, masing-masing mempunyai misi yang sama iaitu mahu melihat industri teater tempatan terus berkembang maju.

Di sebalik keghairahan segelintir pihak yang teruja mementaskan teater muzikal, Faridah dan Norzizi tetap yakin teater tempatan masih lagi mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Faridah sendiri sudah membuktikan kehebatannya di pentas teater dan sehingga ke hari ini, dia bagaikan seorang guru kepada anak-anak muda yang baru hendak bertatih dan menjinakkan diri dalam bidang teater.

Kalau disebut namanya kepada mana-mana karyawan seni tempatan, pujian melambung pasti akan diberikan kepada Faridah yang sudah termaktub dalam direktori seni tempatan sebagai figura unggul dalam bidangnya.

Norzizi pula boleh dilihat sebagai pelapis yang mewakili generasi baru bagi meneruskan kesinambungan legasi seni teater.

Faridah sendiri dengan jujur memberitahu, dia cukup kagum dengan semangat dan keberanian Norzizi yang tidak pernah lelah mahu memartabatkan industri teater tempatan.

"Saya sentiasa memberinya peluang untuk mengembangkan bakatnya sebagai seorang pengarah dan juga penulis skrip. Sudah tiba masanya, anak-anak muda sepertinya diberikan peluang kerana mereka sebenarnya cukup berbakat.

"Sebagai seorang yang sudah lama dalam bidang ini, saya sentiasa membuka pintu kepada semua pihak.

"Norzizi boleh dijadikan contoh terbaik kepada mereka yang mungkin selama ini tidak tahu untuk mencari saluran yang betul dalam mementaskan karya mereka untuk tontonan masyarakat," jelas Faridah berkongsi pandangannya.

Isteri kepada aktivis teater terkenal, Joe Hafsham itu berkata demikian dalam satu sesi temubual bersama Norzizi di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), Jalan Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dengan adanya institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengkhususan dalam bidang seni persembahan khususnya, dia percaya bahawa bakat anak-anak muda ini bukan sembarangan.

Memberikan contoh Norzizi yang mementaskan Mak Yong Titis Sakti di KLPac tahun lalu, Faridah sendiri tidak pernah menyangka karya anak muda itu diterima baik oleh semua golongan dan mendapat sambutan di luar dugaan sehingga tiket-tiket semuanya laris dijual.

Barangkali ada yang tidak tahu, Mak Yong Titis Sakti merupakan salah sebuah persembahan diletakkan di bawah program The Actors Studio Teater Rakyat yang telah dimulakan sejak tahun 2006.

Jelas Faridah, dia dan suaminya mengasaskan program Teater Rakyat itu sebagai memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk mementaskan naskhah mereka dalam apa jua bentuk sekalipun.

Idea itu lahir bagi menyahut seruan kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mahu merakyatkan seni dan tidak mahu adanya kurang antara rakyat dan seni.

"Kami sebenarnya mengalukan-alukan semua pihak untuk berkerjasama dengan kami untuk memperkenalkan program Teater Rakyat ini secara menyeluruh ke seluruh negara.

"Saya harus akui memang saya mahu melihat Teater Rakyat ini berkelana jauh ke serata negara untuk memberi hiburan kepada masyarakat khususnya luar bandar menerusi persembahan teater dan seumpamanya dalam program.

"Bukan itu sahaja, saya juga mahu melihat pihak media memainkan peranan penting untuk menghebahkan tentang Teater Rakyat yang barangkali tidak begitu diketahui ramai.

"Kalau ada mana-mana penerbitan akhbar atau majalah yang mahu berkerjasama, bak kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan," ujarnya bersungguh dengan penuh harapan.

Sekadar menyingkap sejarah, Teater Rakyat pernah menjelajah lima kampung di Semenanjung Malaysia pada tahun 2006 menerusi teater Anak Bulan Di Kampung Wa' Hassan dan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Namun, selepas daripada itu, tiada aktiviti sedemikian dijalankan ekoran kekangan dari segi kewangan dan juga lokasi.

"Sekiranya ada yang berminat mahu membawa Teater Rakyat ini menjelajah negara, lokasinya tidak semestinya di pentas yang besar. Kalau ia dipentaskan di dewan sekolah, balai raya dan seumpamanya, ia sudah memadai.

"Kami ingin membawa seni kepada masyarakat yang mungkin tidak mampu atau berkesempatan untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menyaksikannya," jelas Faridah yang merupakan bekas penyampai radio dan berita Radio Televisyen Malaysia itu lagi.

Antara persembahan dalam program Teater Rakyat yang telah dipentaskan adalah Kisah Gadis - Mangli & Gadis Jalan Burmah, A Night of Cantonese Opera I, II dan III, Rhythmic Roots, Rancangan Hari Jadi Terhebat Adli dan Mamak Mee-Ah! The Musical Spoof.

Seperti mana sambutan hebat terhadap Mak Yong Titis Sakti, begitu juga harapan besar Faridah untuk melihat hasil kerja kedua Norzizi iaitu Medea untuk mengulangi kejayaan yang serupa.

"Saya yakin dengan kemampuan Norzizi dan apabila dia membentangkan idea untuk mementaskan Medea, saya fikir ia adalah naskhah yang hebat serta mampu menarik perhatian penonton kelak.

"Sebuah kisah klasik yang disuntik dengan elemen nusantara menjadikan subjeknya lebih dekat kepada penonton," ujar Faridah sambil melirik senyuman kepada Norzizi.

Saingan sengit dokumentari

Posted: 12 Oct 2010 09:40 PM PDT


MOHD. Mahyidin Mustakim (tengah) bersama Ahmad Puad Onah (kanan) dan Zulkifli Ab. Wahab pada sidang akhbar Festival Filem Dokumentari Kedua di Finas, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.


SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, penerbitan filem dokumentari dilihat semakin menunjukkan peningkatan yang sangat positif.

Menyedari kepentingan sesebuah dokumentari itu dalam menyampaikan maklumat yang penuh informatif kepada audiens, para pembikin mula mencari sentuhan baru dalam menjadikan dokumentari itu sebagai tontonan yang cukup menarik.

Apatah lagi, dokumentari acap kali dilabelkan sebagai sebuah program yang cukup membosankan lantaran pendekatan yang diambil dilihat begitu statik dan cara persembahan yang kurang menyakinkan.

Tetapi, itu dahulu. Kini, pembikin filem dokumentari sudah semakin kreatif dalam mengembangkan dan mempersembahkan subjek yang dipilih dalam sesebuah dokumentari itu.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) misalnya merupakan salah sebuah badan kerajaan yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada pembikin filem dokumentari dalam menghasilkan karya yang cukup bermutu tinggi.

Dengan bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak seperti History Channel, National Geographic Channel dan Discovery Channel, penghasilan dokumentarinya memang menepati piawaian dan setanding dengan mutu antarabangsa.

Ini sendiri diakui oleh Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim yang menyifatkan pembikinan filem dokumentari di negara ini semakin cemerlang dan menunjukkan peningkatan yang sangat mendadak.

Hasilnya, Finas telah menerima maklum balas yang cukup positif daripada masyarakat yang menyifatkan dokumentari tempatan hari ini cukup berkualiti dan pantas menarik perhatian.

"Kami di Finas tidak pernah lelah untuk membantu pembikin dan penerbit filem dokumentari dalam melahirkan karya yang berkualiti agar kita dapat berdiri setanding dengan negara luar.

"Apabila memperkatakan tentang dokumentari, kita tidak dapat lari daripada pandangan skeptikal orang ramai yang melihatnya sebagai sebuah karya yang membosankan.

"Tetapi, dengan adanya bantuan daripada pihak luar yang menjalinkan kerjasama dengan kami, sedikit sebanyak pandangan itu mula terhakis dan mereka mula melihat pembikinan dokumentari tempatan itu sebagai sesuatu yang serius.

"Sudah pasti, satu hari nanti kita mahu melihat filem dokumentari kita mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Semuanya tidak mustahil kerana kita memiliki anak tempatan yang kreatif dan mereka juga sudah membuktikannya," ujarnya dalam nada positif.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang akhbar Festival Filem Dokumentari Kedua yang berlangsung di Finas, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Ahmad Puad Onah dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Zulkifli Ab. Wahab.

Mengenai Festival Filem Dokumentari tahun ini, Mohd. Mahyidin menjelaskan, perkembangan positif pembikinan filem dokumentari tempatan ternyata menunjukkan hasil yang membanggakan apabila sebanyak 80 buah filem dokumentari layak bertanding dalam festival filem kali ini.

Mula diperkenalkan tahun lalu sebagai salah sebuah acara sempena Festival Filem Malaysia, pembahagian kategori dokumentari telah dibahagikan kepada empat yang merangkumi dokumentari ilmiah/sejarah, kesenian dan kebudayaan, alam semulajadi/pelancongan dan isu semasa/kemasyarakatan.

Berbanding hanya 60 penyertaan sahaja tahun lalu, kali ini ia bakal menyaksikan saingan yang cukup sengit apabila dokumentari yang bertanding kesemuanya memiliki kelebihan dan keunikan tersendiri.

Daripada jumlah itu, kategori ilmiah/sejarah mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 30 buah filem, kesenian/kebudayaan dan isu semasa/kemasyarakatan (17) serta alam semulajadi/pelancongan (16).

"Objektif penganjuran festival ini adalah untuk mengiktiraf karyawan dan karya filem dokumentari sebagai rangsangan kepada mereka untuk terus menghasilkan dokumentari terbaik.

"Selain itu, ia juga adalah untuk menggalakkan pembangunan industri perfileman dokumentari Malaysia di samping memasyarakatkan filem serta mendedahkan dan mempromosikan filem dokumentari ke peringkat antarabangsa," kata Mohd. Mahyidin ketika mengulas tentang matlamat penganjuran festival filem berkenaan.

Bakal diadakan di Studio Sound Stage, Finas pada 16 Oktober ini, sebanyak 11 kategori yang akan dipertandingkan yang menawarkan hadiah berupa wang tunai dan trofi.

Namun untuk kategori Dokumentari Terbaik Keseluruhan, pemenangnya hanya akan diumumkan pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) pada 24 Oktober ini.

Ditanya apakah akan ada penambahan kategori untuk penganjuran di tahun-tahun akan datang, Mohd. Mahyidin tidak menolak kemungkinan itu.

"Untuk festival ini, kami membuka peluang kepada semua bahasa untuk menyertainya asalkan ia dihasilkan oleh anak tempatan dan di dalam negara," ujarnya lagi.

Kesemua pemenang diadili oleh lima orang juri yang terdiri daripada ahli akademik dan penggiat dokumentari.

Di sebelah paginya pula, akan diadakan tayangan percuma filem-filem dokumentari yang bertanding dan forum setiap kali berakhirnya tayangan.

Dalam majlis itu juga, Mohd. Mahyidin turut mengumumkan penganjuran bengkel, forum dan apresiasi filem sempena FFM23 yang bermula 18 hingga 22 Oktober ini.

Mari Menari ganti Sehati Berdansa

Posted: 12 Oct 2010 09:39 PM PDT


Sebab itulah Mari Menari diwujudkan bagi menggantikan Sehati Berdansa supaya lebih banyak pihak menyertainya


SELAIN menyanyi, menari juga merupakan salah satu aktiviti, hobi mahupun kerjaya glamor yang sering menjadi perhatian orang ramai termasuklah para penonton televisyen (TV).

Saluran TV berbayar Astro juga tidak terkecuali menjadi tumpuan para pelanggannya apabila pernah menyiarkan rancangan realiti TV Sehati Berdansa di Astro Ria pada tahun lalu.

Rancangan berkonsepkan tarian dan disiarkan sebanyak tiga musim itu telah mencetuskan keinginan para penonton stesen terbabit untuk terbabit sama ke gelanggang tarian.

Justeru, menurut Naib Presiden Unit Pembangunan Kandungan Astro Entertainment Sdn. Bhd., Khairul Mizan Shagul, ramai pelanggan Astro mahu menyertai rancangan seperti itu.

Bagaimanapun, katanya Sehati Berdansa khusus untuk golongan selebriti menyebabkan pihaknya mewujudkan rancangan Mari Menari yang dibuka kepada segenap lapisan masyarakat.

"Kami wujudkan rancangan Mari Menari berdasarkan sambutan Sehati Berdansa. Cuma kali ini fokus kami adalah untuk semua golongan. Tahun ini sasaran kami untuk pelanggan Astro.

"Semasa Sehati Berdansa disiarkan ramai pelanggan Astro yang mahu menyertainya tetapi mereka tidak berpeluang kerana para pesertanya hanya daripada golongan selebriti.

"Sebab itulah Mari Menari diwujudkan bagi menggantikan Sehati Berdansa supaya lebih banyak pihak menyertainya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan di majlis pelancaran Mari Menari itu, Khairul Mizan menjelaskan, sesi-sesi uji bakat telah diadakan bagi mencari 12 pasangan yang akan bertanding dalam rancangan tersebut.

Katanya, sebuah unit khas bagi mencari para peserta pertandingan itu juga telah ditubuhkan bagi mencari para peserta yang layak dan sesuai untuk bersaing dalam Mari Menari.

Agak sukar mencari peserta rancangan ini kerana ada macam-macam masalah. Contohnya, ada peserta yang pandai menari tetapi tiada masa untuk diberikan kepada rancangan ini.

"Sebab itu, kami adakan perundingan hampir tiga bulan berbincang dengan kesemua 30 pasangan peserta yang disenarai pendek dan mahu bertanding dalam Mari Menari.

"Saya salah seorang juri yang memilih peserta rancangan ini. Kami lihat semua aspek para peserta sebelum 12 peserta dipilih bersaing dalam rancangan ini," ujarnya.

Sama seperti Sehati Berdansa, Mari Menari mensyaratkan setiap pasangan yang bertanding mestilah mempunyai pertalian darah seperti adik dengan kakak atau anak dan bapa.

Sebanyak 12 pasangan yang akan bersaing dalam Mari Menari musim pertama ini terdiri daripada pasangan Ariz, Dita, Fahmi, Masri, Razif, Rosdi, Shai, Yat, Zarin, Zul, Jaya dan Nita.

Menerusi rancangan terbitan Astro Ria itu, 50 markah peserta akan diberikan oleh panel juri, manakala 50 peratus lagi ditentukan undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sewaktu ditanya adakah Sehati Berdansa yang dikatakan 'mempunyai badi' sehingga ada di kalangan pesertanya bercerai, Khairul Mizan enggan mengulas lanjut perkara itu.

Sebaliknya, beliau menganggap ia sebagai suatu kebetulan, malah Mari Menari pula mampu membawa lebih kemeriahan dan hadiah buat juaranya berbanding Sehati Berdansa.

"Kalau dalam Sehati Berdansa hadiah yang dimenangi oleh para peserta diserahkan kepada badan-badan amal, sedangkan juara Mari Menari pula akan menerima hadiah.

"Juara musim pertama Mari Menari akan menerima sebuah kondominum The Haven di Ipoh, Perak yang bernilai RM358,000," ujarnya pada pertemuan dengan Hits petang tersebut.

Selain Awal Ashaari dan Lisa Surihani selaku pengacara rancangan, Mari Menari turut dimeriahkan dengan kemunculan barisan penasihat dan juri rancangan tersebut.

Mereka terdiri daripada pelakon Zulhuzaimy Marzuki, Ferhad, Lisdawati, Erra Fazira, Joseph Gonzales yang akan mengkritik persembahan para peserta Mari Menari kelak.

Zulhuzaimy yang lebih dikenali dalam dunia lakonan berkata, dia agak terkejut apabila Astro menawarkannya sebagai penasihat dan juri dalam rancangan yang bermula pada 23 Oktober ini.

"Kalau orang tanya apa yang boleh saya sumbangkan dalam bidang tarian? Itu adalah soalan yang sama saya tanya pada Astro sewaktu mereka tawaran peluang itu kepada saya.

"Apa yang boleh saya sumbangkan di sini ialah sebagai penasihat. Dalam hal ini, kita sebenarnya bukannya mencari penari tetapi mahu menceritakan elemen-elemen dalam tarian.

"Misalnya, mengenai jiwa, rasa dan cerita-cerita yang ada dalam sesebuah tarian itu. Semua orang boleh menari tetapi tidak semua orang ada karisma untuk menari," jelasnya.

Sementara itu, 12 jurureka tari iaitu Anuar, A'ala, Belalang, Dayana, Papa J, Khairul, Wei Jun, Simon, Bayu, Acid, Ray dan Syed pula dijemput melatih 12 pasangan peserta terbabit.

J Retnam A J Karuppiah merupakan peserta Mari Menari yang paling berusia iaitu 60 tahun berpasangan bersama anak perempuannya, Subashini J Retnam, 34.

Menurut J Retnam atau lebih dikenali melalui pasangan Jaya, dia menyertai rancangan realiti TV itu selepas anak sulungnya itu mengajaknya bertanding dalam pertandingan tersebut.

"Saya terima kerana anak saya yakin bahawa kami boleh menari dengan baik. Walaupun saya sudah berusia 60 tahun tetapi saya masih sihat dan akan cuba menari apa sahaja dengan sedaya upaya.

"Apatah lagi sebagai pelatih pemain golf, setiap hari bermain golf empat jam. Jadi, saya rasa ada cukup stamina untuk menari. Isteri saya juga memberi galakan saya menari," katanya.

Sementara itu, Subashini berkata dia bangga kerana dia dan bapanya satu-satunya peserta Mari Menari yang terdiri daripada pasangan anak dan bapa dalam rancangan realiti TV itu.

Malah, dia juga bersedia menyahut cabaran dalam Mari Menari berdasarkan pengalamannya dalam bidang lakonan teater di Actor's Studio dan drama TV sejak tahun 2000.

"Ini salah satu cara saya mencabar bakat dalam bidang lakonan. Saya pernah berlakon beberapa drama sitkom seperti Gadis 3 arahan Othman Hafsham yang disiarkan TV3 pada 2003.

"Saya ajak bapa saya selepas suami dan adik lelaki saya menolak pelawaan saya. Tidak sangka bapa saya setuju dengan cadangan saya untuk menari dengannya dalam rancangan ini," ujarnya.

Pengenalan rancangan itu akan disiarkan mulai 16 dan 17 Oktober ini pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104). Maklumat lanjut layari www.astro.com.my/marimenari.

Maya punca rating Nona jatuh?

Posted: 12 Oct 2010 09:33 PM PDT


BIARPUN memiliki pakej yang lengkap, namun, penonton setia Nona bagaikan tidak merestui Maya Karin menjadi hos program wanita unggul itu.


SEWAKTU TV3 mengumumkan pemilihan Maya Karin sebagai hos baru program wanita popularnya, Nona tahun lalu, ramai yang melihatnya sebagai perkembangan yang positif.

Manakan tidak. Maya memiliki segala-galanya yang mampu menarik perhatian audiens untuk terus setia bersama Nona yang sudah suku abad bersiaran itu.

Pastinya, TV3 mempunyai sebab tersendiri memilih Maya yang cukup terkenal dengan kecantikan dan kebijaksanaannya itu dalam mengemudikan Nona yang pernah mempopularkan nama-nama hebat seperti Datin Seri Normala Shamsuddin, Nurfarahin Jamsari, Azizah Ariffin dan Datin Norjuma Habib.

Selepas hampir setahun Maya mengemudikan rancangan itu, maklum balas yang diterima adalah pelbagai. Sudah menjadi adat resam dunia hiburan, ada yang suka dan ada yang tidak.

Rata-rata maklum balas yang diterima kebanyakannya merasakan Maya tidak mampu menarik perhatian minat mereka untuk terus menonton Nona seperti mana musim-musim terdahulu.

Sehingga ada desas-desus mengatakan rating Nona tidak lagi sehebat dulu apabila ia hanya sekadar mencatatkan jumlah penonton sekitar 1 hingga 1.2 juta setiap minggu sahaja.

Pelbagai reaksi yang diterima tentang gaya penyampaian Maya yang pada hemat mereka kelihatan kekok dan begitu canggung sekali jika hendak dibandingkan dengan penyampai terdahulu.

Mengulas perihal ini, Penerbit Eksekutif Nona, Hartina Ayu Harun tidak menafikan mereka menerima banyak respons daripada penonton setia Nona tentang Maya.

Bagi Hartina Ayu, ia adalah perkara normal untuk mana-mana program yang cuba menampilkan kelainan dan pembaharuan dalam usaha mereka menarik perhatian penonton.

Memang pada asalnya, kata Hartina Ayu, pemilihan Maya sebagai hos Nona adalah untuk memikat golongan urban di samping pengikut setia program wanita unggul itu.

"Adalah tidak wajar untuk menyalahkan Maya sebagai punca rating Nona tidak sehebat ketika Normala atau Nurfarahin mengendalikannya dulu. Kami di TV3 harus akui persaingan kini semakin sengit dan penonton pun mempunyai seleksi untuk memilih rancangan kegemaran mereka.

"Jika diperhatikan, dalam tempoh satu jam Nona disiarkan iaitu dari pukul 2 hingga 3 petang itu, stesen lain menayangkan program dari pelbagai genre yang pastinya memberikan saingan sengit kepada Nona.

"Seperti yang saya katakan tadi, penonton kini mempunyai pilihan untuk menonton rancangan yang mereka suka. Tetapi, apa yang pasti, Nona tetap mempunyai penontonnya sendiri," jelas Hartina Ayu penuh optimis.

Dia berkata demikian pada majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini dan Nona yang telah diadakan di Restoran Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Menyambung perbualan, Hartina Ayu tidak menafikan pemilihan hos merupakan faktor utama untuk mengekalkan pengaruh dan kehebatan sesebuah program seperti Nona.

Pentingkan diri!

Posted: 12 Oct 2010 09:29 PM PDT

PENGUNJUNG meletakkan kenderaan di bahu jalan menyebabkan laluan empat lorong di Pasar Awam Jalan Klang Lama menjadi sempit dan sesak.
PENGUNJUNG meletakkan kenderaan di bahu jalan menyebabkan laluan empat lorong di Pasar Awam Jalan Klang Lama menjadi sempit dan sesak.
Pengunjung letak kereta sesuka hati punca jalan utama di Pasar Awam Jalan Klang Lama sesak teruk

SEPUTIH: Jalan utama di Pasar Awam Jalan Klang Lama, di sini mengalami kesesakan teruk hampir setiap hari kerana sikap pengunjung mementingkan diri sendiri apabila meletakkan kenderaan di kiri jalan untuk ke pasar berkenaan.Pengunjung terbabit tidak menghiraukan keselesaan pengguna lain hingga menjadikan dua daripada empat lorong jalan terbabit sebagai tempat meletak kenderaan.Keadaan itu bertambah teruk apabila ada lampu isyarat di persimpangan berdekatan sehingga menyukarkan pengguna untuk memasuki susur keluar untuk ke Jalan Kuchai Lama.

Selain Jalan Klang Lama di hadapan pasar berkenaan juga adalah laluan utama pengguna untuk ke Bandar Kinrara, Puchong, Petaling Jaya dan pusat bandar raya.

Seorang pengguna, Mohd Solihi Sidin, 30, berkata beliau terpaksa berhadapan dengan masalah kesesakan itu hampir sejam setiap hari walaupun pada hari minggu sejak bertukar tempat kerja di Petaling Jaya lima tahun lalu.

Beliau berkata, sikap pemandu yang mengambil jalan mudah dengan meletakkan kenderaan di tepi jalan di dua lorong kiri Jalan Klang Lama itu untuk ke pasar, benar-benar mementingkan diri sendiri.
"Ia memberi kesan kepada pengguna lain apabila mereka terpaksa lebih berhati-hati menggunakan jalan berkenaan, selain tersangkut beberapa lama di jalan itu kerana terperangkap dalam kesesakan.

"Kerajaan menyediakan jalan empat lorong untuk kemudahan pengguna tetapi sikap pengunjung yang menjadikan dua lorong kiri jalan itu sebagai tempat meletak kenderaan, benar-benar menyukarkan pengguna lain," katanya kepada Sentral.

Tinjauan Sentral mendapati selain menjadi tempat meletak kenderaan, laluan tepi jalan itu juga menjadi tempat lori memunggah barang untuk dibawa ke pasar sehingga jalan berkenaan menjadi kucar kacir.

Lebih mengecewakan, pengguna jalan raya perlu mengharungi kesesakan di jalan itu bermula jam 8 pagi dan berakhir hingga jam 11 pagi setiap hari.

Seorang pengguna lain, Mohd Sabry Ibrahim, 35, berkata kesesakan itu dapat dikurangkan jika pengunjung pasar berkenaan tidak menjadikan dua daripada empat lorong itu sebagai tempat meletak kenderaan.

"Saya tidak tahu kemungkinan ada kelonggaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada pengunjung yang ingin ke pasar itu kerana seperti tidak ada tindakan yang diambil hingga keadaan semakin hari semakin sesak.

"Jika seperti itu tiada gunanya bina jalan raya empat lorong jika pengunjung 'dibenarkan' menyalahgunakan jalan berkenaan.

"Apa yang pasti tindakan meletak kenderaan di kiri kanan jalan itu memang menyusahkan pengguna lain dan menjadi punca utama kesesakan di kawasan terbabit sampai bila-bila jika tiada langkah tegas diambil," katanya.

Katanya, PBT perlu mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan pengguna jalan raya yang terpaksa menanggung bebanan emosi apabila terperangkap dalam kesesakan akibat daripada masalah itu.

Sementara itu, pemilik kenderaan yang berkunjung ke pasar berkenaan, Chris Ai Lin, 30, berkata beliau tidak tahu sama ada tindakan meletakkan kenderaan di atas lorong laluan jalan itu menjadi kesalahan kerana sekadar mengikut kebiasaan dilakukan orang ramai yang ke pasar itu.

"Saya tahu tindakan ini mengakibatkan jalan raya menjadi sesak, namun pemilik kenderaan lain turut melakukan perkara yang sama," katanya.

Masih cari arah

Posted: 12 Oct 2010 09:18 PM PDT

Jaclyn Victor
Jaclyn Victor
Jaclyn akui kena kenali semula selera peminat, pendengar

ENAM tahun sudah berada dalam dunia seni suara, jangan terkejut kalau Jaclyn Victor memberitahu dia masih lagi mencari arah.Juara Malaysian Idol pada tahun 2004 itu mengakui jemu kerana sering dilabelkan sebagai penyanyi bernada tinggi sedangkan dia mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh.Mungkin kerana itu, sinar kerjaya wanita berusia 32 tahun ini seperti tidak digilap lalu menjadikannya kelam sehingga menimbulkan kebimbangan kepada tuan punya diri.

"Selepas enam tahun, saya harus mula belajar lagi. Belajar mengenali selera peminat. Saya perlu berfikir bagaimana untuk meneroka kelebihan yang saya ada. Walaupun enam tahun dalam bidang nyanyian, saya masih lagi mencari arah.

"Sebenarnya tak mudah mencari identiti apabila orang sudah melabel saya sebagai penyanyi bernada tinggi. Saya tak mahu seumur hidup menyanyikan lagu balada dan bernada tinggi.

"Kalau boleh memang saya nak masukkan semua jenis lagu dalam sebuah album, tetapi bimbang orang susah nak meletakkan saya di mana. Saya juga ada bertanyakan pendapat komposer tetapi mereka juga tidak tahu arah yang sesuai untuk saya," kata penyanyi itu yang mengakui sedang berada dalam dilema.
Jaclyn atau Jac berkata, kesukaran menentukan identiti tiada kena mengena dengan soal warna kulit. Walaupun bukan berbangsa Melayu, dia langsung tidak pernah berasakan dirinya di anak tiri dalam industri hiburan tanah air.

Sebaliknya, dia mendapat layanan sama rata termasuk juga dari peminat. Bagaimanapun apa yang lebih penting baginya hanyalah supaya muzik dan lagu nyanyiannya dihargai.

"Saya tak pernah berasakan kerjaya saya tergantung begitu saja. Banyak lagi yang boleh dilakukan. Saya tak mahu tanamkan dalam diri supaya lekas merasa selesa dengan yang sudah saya kecapi.

"Walaupun pernah beberapa kali merangkul anugerah, susah untuk katakan yang mana satu di antara anugerah itu membawa makna kepada saya. Bagi saya semuanya sama.

"Sebab itu saya katakan, saya tidak pernah berasa terpinggir sebaliknya berasakan saya cukup bertuah kerana diterima peminat bukan Melayu. Saya pun tak harap banyak sangat, cuma mengharapkan peminat menghargai muzik yang saya bawakan dan menerima saya seadanya," kata penyanyi itu yang bakal muncul dengan album duet bersama dua lagi penyanyi iaitu Ning Baizura dan Shila.

Album yang masih belum diberikan tajuk itu selesai dirakamkan Mac lalu tetapi sehingga kini penyanyi itu belum pasti bila akan berada di pasaran. Dia sendiri tidak sabar menantikan kehadiran album berkenaan yang mendapat sentuhan komposer dari Indonesia seperti Irwan Simanjuntak kerana lagunya yang menarik.

Dalam album berkenaan, kata Jac, mereka diberikan bahagian masing-masing secara adil. Oleh itu , tidak timbul masalah mana-mana penyanyi cuba 'membunuh' vokal penyanyi lain.

Mengenai kerjaya lakonan, Jac yang baru selesai dengan pementasan teater muzikal Cuci akan muncul dengan filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Apalam adalah Papadom dalam versi bahasa Tamil yang juga filem keduanya selepas Talentime arahan Yasmin Ahmad.

Walaupun lakonan berbeza dari tujuan asalnya ketika menjejakkan kaki ke dunia hiburan, Jac mengakui semakin selesa berlakon. Tetapi setakat ini dia masih belum menerima tawaran baru.

Kembali kepada kerjaya nyanyian, sudah agak lama Jac tidak membuat persembahan. Pada 31 Oktober nanti, penyanyi lagu Gemilang itu akan muncul di Hard Rock Cafe sempena dengan kempen Pinktober yang mendapat kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (MAKNA). Dia bakal muncul selama sejam setengah dan menghiburkan peminatnya dengan menyanyikan hampir 20 lagu.

Tiket menyaksikan persembahan berkenaan adalah RM55. Selain menonton persembahan bertenaga dari Jac, peminat khususnya wanita boleh mengambil kesempatan itu mengunjungi gerai yang akan dibuka oleh MAKNA untuk mengetahui lebih lanjut mengenai barah payudara.


Sudah biasa berjauhan

SUDAH empat tahun Jac bertunang dengan jejaka dari London. Namun sehingga kini belum ada tanda-tanda dia bakal menamatkan zaman bujangnya.

Katanya, faktor jarak menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan terlebih dulu niat murni itu. Tambahan pula, ibunya tidak memaksa, jadi dia berasa tidak perlu terburu-buru untuk berkahwin.

"Kami berjauhan. Dia ada kerjanya di sana dan saya pula ada tanggungjawab di sini. Jadi sukar untuk kami terus berkahwin. Saya juga tak sanggup meninggalkan kerjaya saya di sini semata-mata untuk mengikut bakal suami.

"Biarlah kami begini dulu. Tiada apa yang mahu dikejarkan. Lagipun saya sudah biasa berjauhan dengannya. Ketika mula-mula dulu memanglah terasa sedih, tetapi lama kelamaan sudah biasa. Sekarang ini telefon dan juga Skype menjadi penghubung kami setiap hari," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS